~welcome~

Saturday, January 7, 2012

~Belum sempat berjalan dah berlari...

Alhamdulillah, masa diberi kesempatan untuk mencoret di sini.

Alhamdulillah, Allah masih memberi kita peluang untuk kita menambah amal dengan dipanjangkan usia kita.

Alhamdulillah, Allah masih memberi kita peluang untuk kita bertaubat dengan membangunkan tidur kita pada hari ini.

Minggu ini, saya telah memasuki fasa hidup yang baru dan mencabar. Belajar dan bekerja sememangnya sangat berbeza. Teori dan praktikal sememangnya tidak sama. Bahkan, kita harus bijak mengaplikasikan mengikut situasi dan keadaaan.

Dua minggu lepas, saya telah ditawarkan menjadi 'part-time lecturer' di sebuah kolej di Pantai Timur. Memikirkan masih ada ruang masa sebelum ditemuduga dan ditempatkan di sekolah, maka saya mengambil peluang ini untuk menambah pengalaman. Semestinya pendapatan juga. ^__^

Dan saya kira ini adalah salah satu jalan yang ditunjukkan oleh-Nya atas doa saya selama ini. Terima kasih Ya Allah...kerana membukakan jalan dan mempermudah urusan hamba-Mu yang lemah lagi hina ini.

Kini, saya bergelar seorang tenaga pengajar Bahasa Inggeris untuk pelajar-pelajar yang mengikuti kursus berkembar kolej dan sebuah universiti di selatan tanah air. Mengajar mereka yang segelintirnya hampir sama usia dan yang lebih berusia dari saya sendiri sememangnya bukan suatu perkara yang mudah. Pelbagai ragam dan telatah yang saya saksikan. Apatah lagi kebanyakan pelajar saya adalah lelaki. Agak sukar pada mulanya untuk berada di dalam kelas yang dimonopoli golongan ini. Namun, berbekalkan apa yang dipelajari dan pengalaman semasa praktikal, saya berusaha untuk memberikan yang terbaik dalam mengajar dan mendidik mereka. Bukan sahaja untuk lulus peperiksaan bahkan berubah menjadi insan yang lebih baik dari sebelumnya. Saya harapkan titipan doa dari kalian semoga Allah mempermudahkan urusan.

Berbalik kepada tajuk entry saya kali ini...belum sempat berjalan dah berlari? Kata-kata ini saya petik dari seorang kakak pensyarah di kolej tersebut. Saat saya kelihatan agak kelam-kabut menyiapkan tugasan, katanya, "Kesian awak...belum sempat berjalan dah berlari..."

Saya cuma tersenyum dan berkata, "Tak pe...ini pengalaman berharga dalam hidup..."

Kenapa belum jalan dah kena lari ni?

Dua hari lepas, kordinator saya meminta saya menghadiri satu taklimat jabatan kami mengenai kedatangan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) ke kolej kami pada Isnin depan. Kami semua, para pensyarah yang mengajar pelajar Kejuruteraan Awam dikehendaki untuk menyempurnakan fail subjek masing-masing untuk semakan MQA.  Saat saja mendengar hal tersebut, hati dilanda kerisauan. Kelas saya bersama mereka baru saja bermula, cuma kedatangan tidak rasmi yang diperoleh. Saya juga harus menyiapkan rancangan pengajaran selama tiga minggu termasuk dua minggu sebelumnya. Termasuk beberapa dokumen yang sebelum ini yang tidak pernah saya isi semasa untuk peringkat sekolah menengah.

Pada mulanya terasa penat juga dan satu ketika tanpa saya sedar mengeluh...Ya Allah, terlupa seketika yang diri ini cuma hamba dan ini adalah satu ujian-Nya supaya saya lebih dekat dengan-Nya. 

Saat ditimpa bebanan kerja begini, ayat-ayat dari surat cinta-Nya akan kembali menguatkan saya...

"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Dia mendapat (pahala) dari (kebajikan) yang dikerjakannya dan dia mendapat (siksa) dari (kejahatan) yang diperbuatnya." (2:286)

Pesan saya pada diri, yakinlah dengan janji Allah...dan sebagai seorang mukmin, berusahalah membuat yang terbaik dalam segala amanah yang dipikul...jadilah mukmin professional...

Hari ini saya akan kembali berkampung di pejabat untuk menyiapkannya. Semoga Allah memudahkan urusan saya dan urusan kalian.



Buat guru-guru yang kembali berkhidmat, selamat mengajar. Semoga menjadi contoh terbaik buat anak-anak didik anda.





p/s: Seronok juga dapat terus berlari ni...Sangat adventure! ^__^ 






1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Click Here =)