~welcome~

Tuesday, December 13, 2011

Persediaan Sebelum Berkahwin~


Musim cuti sekolah selalunya menjadi pilihan ramai pasangan untuk mendirikan rumahtangga. Saat inilah rumah menjadi meriah dengan hilai tawa adik-beradik dan saudara mara yang pulang ke kampung. Jalinan ukhwah kembali bertaut setelah sekian lama tidak berjumpa kerana kesibukan masing-masing.

Kepada para sahabat yang telah dan bakal mendirikan rumahtangga, semoga kekal bahagia hendaknya hingga ke syurga.


Dua hari lepas, saya berpeluang untuk menghadiri Kursus Pra-Perkahwinan selama dua hari. Ibu tercinta menggalakkan saya menghadirinya. Kata ibu, 'senang nanti.' ^__^.Ditambah pula, kursus ini dianjurkan oleh pejabat kakak saya bekerja, dengan kerjasama JaHEAT (Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu). Maka saya ‘meringankan’ kaki untuk ke sana bersama seorang sahabat yang juga merangkap jiran sebelah rumah.


Sememangnya, banyak ilmu yang dapat saya kutip di sana. Walaupun belum tahu bilakah masanya akan tiba untuk bergelar seorang isteri, namun bagi saya, kursus ini memberikan saya motivasi untuk menyediakan diri dengan ilmu yang secukupnya sebelum masa yang telah ditentukan-Nya itu tiba.

Apa yang saya ingin kongsikan di sini adalah peristiwa pada hari kedua kursus berlangsung. Pada sebelah pagi, para peserta kursus perlu menghadiri dua slot mengenai akidah dan ibadah. Bagi saya, tajuk ini merupakan tunjang kepada kursus pra-perkahwinan ini. Manakan tidak, di dalamnya terkandung tiga komponen terpenting, iaitu Islam, Iman dan Ihsan (3I).

Apa yang menyedihkan adalah sebahagian besar peserta seolah-olah memandang enteng pada slot ini. Ada yang berbual dengan teman di sebelah dan ada juga yang sempat melelapkan mata. Paling mengharukan, kebanyakannya adalah golongan lelaki, yang bakal menjadi nakhoda rumahtangga!

Mungkin pada pandangan mereka slot akidah agak bosan kerana biasa didengari, atau mungkin merasa sudah cukup ilmu tentangnya. Mungkin saja mereka terlupa, ilmu yang didengar berulang-ulang itu lebih mudah dihadam dan diamalkan.

Saat itu ingin sahaja saya berdiri dan berkata, ‘Wahai sahabat sekalian yang saya hormati, mungkin kalian merasakan slot ini tidak berapa penting, namun tahukah kalian bahawa sebenarnya Islam, Iman dan Ihsan diibaratkan seperti tiang, dinding dan atap sesebuah rumah. Jika tiada tiga elemen ini, maka tangga tidak akan dibina. Maka sukarlah untuk membina sebuah rumahtangga!’

Namun, kata-kata itu hanya berlegar-legar di minda, diulang-ulang ucapnya di sudut hati. Saat waktu rehat tiba, saya meluahkan apa yang bermain di minda pada sahabat yang menjadi teman saya. Dia cuma tersenyum yang saya pada firasat saya, mengiakan pendapat saya. Terima kasih teman,sekurang-kurangnya kamu sudi mendengar rasa hatiku yang tidak mampu kuluahkan pada mereka.

Buat para sahabat yang bakal mendirikan rumahtangga, menunaikan sunnah Rasulullah, persiapkan diri kalian dengan ilmu Islam sewajarnya. Teguhkan hati dengan keimanan kepada-Nya dihiasi  dengan Ihsan.

Kenapa? Kerana perkahwinan merupakan satu ibadah. Ia bukan perkara main-main. Bahkan di situlah titik mula lahirnya generasi Islam yang bakal meneruskan perjuangan menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini. Melayari bahtera rumahtangga memerlukan jiwa yang kuat kerana di dalamnya terkandung pelbagai ujian dan dugaan yang bakal kita hadapi. Dan kekuatan itu kita peroleh dari keimanan kita kepada Allah. Di waktu inilah 3I tadi memainkan peranannya.

Sepasang suami isteri yang masuk ke dalam Islam secara sebenarnya akan tahu tanggungjawabnya. Sepasang suami isteri yang berusaha memelihara Iman akan takut dengan azab-Nya sekiranya mereka mengabaikan tanggungjawab. Sepasang suami isteri yang punya sifat Ihsan akan sentiasa jujur dan amanah kerana mereka tahu Allah sentiasa memerhatikan mereka, bahkan mengetahui segala yang terpendam di dalam hati mereka.
Bilamana sifat tanggungjawab, jujur, amanah dan lain-lain sifat mahmudah wujud dalam sesebuah rumahtangga, maka akan wujudlah rumahtangga yang sakinah, mawaddah warahmah. 



Akhir kalam, khas buat para muslimah di luar sana, persiapkan diri kita dengan ilmu yang sewajarnya, agar nanti kita dapat mendidik cahaya hati kita dengan acuan Islam. Perlengkapkanlah diri dengan ilmu rumahtangga seperti memasak dan sebagainya supaya jalinan kasih sayang antara keluarga sentiasa bersemi. Banyakkanlah berdoa semoga dianugerahkan-Nya seorang pendamping hidup yang soleh, berakhlak dan bertanggunggjawab.


Ayuh mujahidah, persiapkan diri untuk menjadi sang bidadari buat bakal suamimu! ^__^




Wallahua’lam

p/s: Segala yang saya kongsikan dia atas cumalah sekadar teori dan pemerhatian dari kehidupan insan sekeliling, apa yang baik jadikanlah iktibar, yang buruk jadikan sempadan. Moga bermanfaat. 








No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Click Here =)