~welcome~

Friday, January 18, 2013

KURSUS ZAKAT DAN UMRAH

Tanggal 12 Januari yang lalu semua guru dan kakitangan sekolah dikehendaki menghadiri Kursus Zakat dan Umrah yang dianjurkan BKGK sekolah sebagai salah satu latihan dalam perkhidmatan (ladap) kami untuk tahun ini.

Bagi saya, kursus sebegini sangat istimewa apatah lagi ia dikira sebagai ladap kami. (Kami perlu cukupkan paling kurang 7 hari ladap dalam masa setahun). 

Kursus dimulakan dengan slot zakat. Pengisian yang bermanfaat dari seorang ustaz muda anak jati negeri tempat saya ditempatkan. Beliau menerangkan perkara-perkara yang penting sekitar zakat seperti jenis, kadar dan golongan yang layak mendapat zakat. Alhamdulillah, banyak ilmu dan input baru yang saya dapat dari slot ini. 

Kemudian kami rehat sebelum mengikuti slot kedua iaitu slot bersama agensi haji dan umrah, Al Zahabi Travel Sdn Bhd



Tempoh masa kurang lebih 2 jam 30 minit bersama penceramah terasa seperti begitu pantas. Penceramah sangat bijak menyusun kata dalam menarik minat kami para pendidik. Beliau juga menyelitkan lawak jenaka yang 'berisi' dalam membuka mata hati kami.

Apa yang lebi menarik, penceramah ini banyak bercerita tentang sirah nabi dan para sahabat. Hati yang telah lama tidak 'disiram' terasa segar kembali. Rasa rindu pada Rasulullah kembali membara. Sungguh, terasa diri umatnya yang tidak bersyukur...baginda begitu menyayangi kita sedang kita sering lupa untuk berselawat atas baginda. Betapa hebat pengorbanan para sahabat, namun kita lebih memilih untuk mengenali artis-artis yang melalaikan daripada mengkaji sosok peribadi mereka. Tanpa sedar, mengalir manik-manik jernih dari tubir mata. 

Sejujurnya, slot ini makin mencambah rindu pada baginda, juga menambahkan lagi keinginan untuk menjejakkan kaki ke tanah suci. Semoga Allah mengurniakan rezeki-Nya, insyaAllah.

Semoga para penceramah yang berkongsi ilmu dengan kami hari itu mendapat redha-Nya. Semoga ilmu yang kami perolehi diberkahi-Nya. Dan semoga sekolah saya menganjurkan kursus-kursus yang bermanfaat dan membina jiwa jua rohani kami para pendidik. Kerana bagi saya, orang yang mengajarkan ilmu itu, hatinya perlu sentiasa disirami nur ilmu agar penyampaiannya akan lebih berkesan. 




p/s: Doakan saya dimurahkan rezeki. Sangat teringin untuk ke tanah suci. =)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Click Here =)