~welcome~

Showing posts with label Kembara Hidup. Show all posts
Showing posts with label Kembara Hidup. Show all posts

Friday, January 18, 2013

KURSUS ZAKAT DAN UMRAH

Tanggal 12 Januari yang lalu semua guru dan kakitangan sekolah dikehendaki menghadiri Kursus Zakat dan Umrah yang dianjurkan BKGK sekolah sebagai salah satu latihan dalam perkhidmatan (ladap) kami untuk tahun ini.

Bagi saya, kursus sebegini sangat istimewa apatah lagi ia dikira sebagai ladap kami. (Kami perlu cukupkan paling kurang 7 hari ladap dalam masa setahun). 

Kursus dimulakan dengan slot zakat. Pengisian yang bermanfaat dari seorang ustaz muda anak jati negeri tempat saya ditempatkan. Beliau menerangkan perkara-perkara yang penting sekitar zakat seperti jenis, kadar dan golongan yang layak mendapat zakat. Alhamdulillah, banyak ilmu dan input baru yang saya dapat dari slot ini. 

Kemudian kami rehat sebelum mengikuti slot kedua iaitu slot bersama agensi haji dan umrah, Al Zahabi Travel Sdn Bhd



Tempoh masa kurang lebih 2 jam 30 minit bersama penceramah terasa seperti begitu pantas. Penceramah sangat bijak menyusun kata dalam menarik minat kami para pendidik. Beliau juga menyelitkan lawak jenaka yang 'berisi' dalam membuka mata hati kami.

Apa yang lebi menarik, penceramah ini banyak bercerita tentang sirah nabi dan para sahabat. Hati yang telah lama tidak 'disiram' terasa segar kembali. Rasa rindu pada Rasulullah kembali membara. Sungguh, terasa diri umatnya yang tidak bersyukur...baginda begitu menyayangi kita sedang kita sering lupa untuk berselawat atas baginda. Betapa hebat pengorbanan para sahabat, namun kita lebih memilih untuk mengenali artis-artis yang melalaikan daripada mengkaji sosok peribadi mereka. Tanpa sedar, mengalir manik-manik jernih dari tubir mata. 

Sejujurnya, slot ini makin mencambah rindu pada baginda, juga menambahkan lagi keinginan untuk menjejakkan kaki ke tanah suci. Semoga Allah mengurniakan rezeki-Nya, insyaAllah.

Semoga para penceramah yang berkongsi ilmu dengan kami hari itu mendapat redha-Nya. Semoga ilmu yang kami perolehi diberkahi-Nya. Dan semoga sekolah saya menganjurkan kursus-kursus yang bermanfaat dan membina jiwa jua rohani kami para pendidik. Kerana bagi saya, orang yang mengajarkan ilmu itu, hatinya perlu sentiasa disirami nur ilmu agar penyampaiannya akan lebih berkesan. 




p/s: Doakan saya dimurahkan rezeki. Sangat teringin untuk ke tanah suci. =)

Saturday, January 7, 2012

~Belum sempat berjalan dah berlari...

Alhamdulillah, masa diberi kesempatan untuk mencoret di sini.

Alhamdulillah, Allah masih memberi kita peluang untuk kita menambah amal dengan dipanjangkan usia kita.

Alhamdulillah, Allah masih memberi kita peluang untuk kita bertaubat dengan membangunkan tidur kita pada hari ini.

Minggu ini, saya telah memasuki fasa hidup yang baru dan mencabar. Belajar dan bekerja sememangnya sangat berbeza. Teori dan praktikal sememangnya tidak sama. Bahkan, kita harus bijak mengaplikasikan mengikut situasi dan keadaaan.

Dua minggu lepas, saya telah ditawarkan menjadi 'part-time lecturer' di sebuah kolej di Pantai Timur. Memikirkan masih ada ruang masa sebelum ditemuduga dan ditempatkan di sekolah, maka saya mengambil peluang ini untuk menambah pengalaman. Semestinya pendapatan juga. ^__^

Dan saya kira ini adalah salah satu jalan yang ditunjukkan oleh-Nya atas doa saya selama ini. Terima kasih Ya Allah...kerana membukakan jalan dan mempermudah urusan hamba-Mu yang lemah lagi hina ini.

Kini, saya bergelar seorang tenaga pengajar Bahasa Inggeris untuk pelajar-pelajar yang mengikuti kursus berkembar kolej dan sebuah universiti di selatan tanah air. Mengajar mereka yang segelintirnya hampir sama usia dan yang lebih berusia dari saya sendiri sememangnya bukan suatu perkara yang mudah. Pelbagai ragam dan telatah yang saya saksikan. Apatah lagi kebanyakan pelajar saya adalah lelaki. Agak sukar pada mulanya untuk berada di dalam kelas yang dimonopoli golongan ini. Namun, berbekalkan apa yang dipelajari dan pengalaman semasa praktikal, saya berusaha untuk memberikan yang terbaik dalam mengajar dan mendidik mereka. Bukan sahaja untuk lulus peperiksaan bahkan berubah menjadi insan yang lebih baik dari sebelumnya. Saya harapkan titipan doa dari kalian semoga Allah mempermudahkan urusan.

Berbalik kepada tajuk entry saya kali ini...belum sempat berjalan dah berlari? Kata-kata ini saya petik dari seorang kakak pensyarah di kolej tersebut. Saat saya kelihatan agak kelam-kabut menyiapkan tugasan, katanya, "Kesian awak...belum sempat berjalan dah berlari..."

Saya cuma tersenyum dan berkata, "Tak pe...ini pengalaman berharga dalam hidup..."

Kenapa belum jalan dah kena lari ni?

Dua hari lepas, kordinator saya meminta saya menghadiri satu taklimat jabatan kami mengenai kedatangan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) ke kolej kami pada Isnin depan. Kami semua, para pensyarah yang mengajar pelajar Kejuruteraan Awam dikehendaki untuk menyempurnakan fail subjek masing-masing untuk semakan MQA.  Saat saja mendengar hal tersebut, hati dilanda kerisauan. Kelas saya bersama mereka baru saja bermula, cuma kedatangan tidak rasmi yang diperoleh. Saya juga harus menyiapkan rancangan pengajaran selama tiga minggu termasuk dua minggu sebelumnya. Termasuk beberapa dokumen yang sebelum ini yang tidak pernah saya isi semasa untuk peringkat sekolah menengah.

Pada mulanya terasa penat juga dan satu ketika tanpa saya sedar mengeluh...Ya Allah, terlupa seketika yang diri ini cuma hamba dan ini adalah satu ujian-Nya supaya saya lebih dekat dengan-Nya. 

Saat ditimpa bebanan kerja begini, ayat-ayat dari surat cinta-Nya akan kembali menguatkan saya...

"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Dia mendapat (pahala) dari (kebajikan) yang dikerjakannya dan dia mendapat (siksa) dari (kejahatan) yang diperbuatnya." (2:286)

Pesan saya pada diri, yakinlah dengan janji Allah...dan sebagai seorang mukmin, berusahalah membuat yang terbaik dalam segala amanah yang dipikul...jadilah mukmin professional...

Hari ini saya akan kembali berkampung di pejabat untuk menyiapkannya. Semoga Allah memudahkan urusan saya dan urusan kalian.



Buat guru-guru yang kembali berkhidmat, selamat mengajar. Semoga menjadi contoh terbaik buat anak-anak didik anda.





p/s: Seronok juga dapat terus berlari ni...Sangat adventure! ^__^ 






Thursday, December 15, 2011

Analogi:Lampu Isyarat dan Kehidupan

Sudah sekian lama terfikir untuk menghasilkan entry ini. Alhamdulillah, hari ini Allah memudahkan penulisannya. Semoga bermanfaat buat kalian semua.


Sebut sahaja lampu isyarat atau 'traffic light', saya pasti semua orang pernah melihatnya, bahkan setiap hari. Tambahan pula bagi yang bekerja ataupun belajar, pemberi isyarat ini pasti ditemui di persimpangan jalan dan kawasan-kawasan yang sewaktu dengannya. Jika ditanya, apakah warna-warna lampu isyarat, usahkan yang dewasa, kanak-kanak pun boleh menjawab dengan pantasnya. Merah, kuning dan hijau. Itulah warna-warnanya. Sekarang, saya ingin anda memilih urutan lampu isyarat yang sebenar...


Bagaimana? Dah dapat jawapannya? Keliru ? Nampaknya anda kena ambil ujian memandu lagi sekali.
Begitulah kita, walaupun boleh dikatakan setiap hari kita melihat lampu isyarat, namun kita masih kurang pasti akan kedudukan warnanya yang sebenar. Kenapa? Kerana kita kurang peka atau kurang ambil berat. Apa yang kita tahu, "hijau jalan!"

Sunday, April 17, 2011

~Kenangan Terindah

3 Januari 2011, perjalananku sebagai seorang guru pelatih bermula...
15 April 2011, perjalananku sebagai seorang guru pelatih berakhir...

Tempoh masa yang pada relatifnya singkat namun cukup untuk memberikan diri pengalaman hidup yang sangat bermakna. Jujurnya, pada awalnya, tempoh 15 minggu dirasakan agak lama. Namun, masa berjalan dengan begitu pantas, dan akhirnya 15 April muncul jua, bersedia untuk mengucapkan salam perpisahan buat kami, para guru pelatih dari USM.

Mengimbas kembali minggu pertama mengajar sehingga minggu ke minggu ke-15, pelbagai kenangan suka dan duka dilalui. 

Kelas 4 Efektif...kelas pertama yang dijejaki di sekolah ini...SMK Abdullah Munshi, Georgetown Pulau Pinang. 
~the boys in 4 Efektif...
                                                 
                                    ~the girls in 4 Efektif...

Kelas 4 Tekun...


~the boys in 4 Tekun...

~the girls in 4 Tekun...




Wajar dalam sesebuah kelas, pasti ada pelajar-pelajar yang nakal dan terkadang menguji kesabaran, namun hakikatnya merekalah yang memeriahkan suasana di dalam kelas. 

Bergelar seorang guru bukan bererti mengajar subjek yang diajar semata-mata, bahkan mendidik mereka dengan nilai-nilai dan akhlak yang baik. Mendidik mereka supaya saling menghormati, bukan sahaja guru-guru bahkan juga sahabat-sahabat mereka. Mendidik mereka supaya menggunakan kata-kata yang baik dan tertib dalam percakapan. Kedengarannya mudah, namun upayanya payah. Menyelami dan menyentuh hati mereka bukan mudah kerana mereka dalam satu fasa mencari identiti diri, fasa yang amat penting menentukan siapa mereka suatu hari nanti...Lantas, diri merasakan tanggungjawab yang besar tergalas di bahu...



Pelajar-pelajar yang cikgu sayangi, semoga kamu semua berjaya dan menjadi insan muslih. Sekiranya benar kamu ingin menjadi doktor, maka jadilah seorang doktor muslim. Apa sahaja impianmu, apa jua cita-citamu pastikan kamu sentiasa mengikuti landasan agama yang telah tergaris dalam Al-Quran dan As-Sunnah. 

Maafkan cikgu sekiranya cikgu tidak mampu untuk menyumbangkan perubahan pada sikap kamu, namun ketahuilah cikgu sentiasa mendoakan kamu...dalam setiap sujud...dalam setiap doa...saat tahajjud...saat bertemu dengan-Nya.

Jadilah insan yang bukan sahaja cemerlang akademiknya, bahkan cemerlang akhlak dan sahsiahnya!



~Thank you guys for all the sweet memories...^___^



Tuesday, December 28, 2010

~Untukmu yang Bergelar Pejuang Agama~

Hari itu, aku 'diserang'. Dipukul, ditampar, ditumbuk dan bermacam-macam lagi. Aku cuma tersenyum menahan kesakitan. Pipi bengkak-bengkak. Hidung berdarah. Sakit...yang tidak bisa diungkapkan dengan kata-kata. Hati rasa ingin menangis, namun air mata tidak mampu lagi untuk berfungsi. Batinku menjerit namun jasadku tidak mampu berbuat apa-apa. Aku akur, aku pasrah. Aku percaya, inilah ujian Allah buatku...supaya aku lebih mendekat pada-Nya. Kesakitan ini bukanlah seberapa berbanding kesakitan baginda Rasul Junjungan...

Hakikatnya, aku tidak mengenali dia sepenuhnya, begitu juga dia. Dia berhak berbuat apa sahaja yang dia rasa dan fikirkan kepadaku, insan yang lemah lagi tidak berdaya di sisi-Nya.  Sungguh...akalku bergerak menyoroti setiap detik kehidupan sebelum peristiwa itu dan membawa aku mengenal siapa aku sebenarnya selama ini. Adakah aku seperti aku yang dilihat oleh orang lain pada luarannya ataupun sebaliknya...adakah aku menjalankan tanggunggjawab yang telah diamanahkan padaku atau sebaliknya...adakah aku itu...adakah aku ini...begitu banyak adakah yang ku fikir saat 'serangan' itu dilancarkan. 

Sementara itu 'penyerang' masih belum puas dengan 'serangan-serangannya'...mungkinkah dia ingin riwayat hidupku tamat di situ? Aku menunggu dengan penuh sabar sambil bibir mengukir senyuman buatnya. Banyak sekali yang ku ingin bicarakan padanya, namun lidah ku kelu. Tidak tahu dari mana harus aku mulakan. Tidak tahu bagaimana harus aku luahkan. Ya, mungkin aku telah melukakan hatinya, membuatkan dia bertindak sebegitu rupa.Mungkin...

Namun aku yakin DIA tidak akan membebankan hamba-Nya dengan beban yang tidak sanggup untuk hamba-hamba-Nya memikulnya. DIA tidak zalim kepada hamba-hamba-Nya...Bahkan DIA Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Aku yakin mampu melaluinya...Nanti, bila tiba saatnya hatinya sudah sembuh, luka telah pulih, aku akan kembali berbicara dengannya...akan...pasti...

Aku tidak akan pernah membencinya...apatah lagi menyimpan dendam...kerana aku sayangkan dia...walau mungkin rasa sayang ini tidak pernah aku luahkan kerana ku tahu dia tidak suka aku menyebutnya...

Hari ini...luka-luka tempoh hari kian sembuh...kesannya masih membekas, namun semangatku tidak pernah hilang...syukur pada-Mu YA ALLAH...






Kesakitan itu biarlah ia berlalu...kepedihan itu biarlah ia pergi...berlalu bersama aliran waktu...pergi bersama tiupan bayu...jiwa harus tetap berjuang...kaki harus tetap melangkah...jalan ini menuntut seribu satu pengorbanan...jalan ini menuntut seribu satu daya tahan...biar sekuat manapun ribut yang melanda, biar sekuat manapun badai mendatang...berundur tidak sesekali...kerana matlamatku tetap satu...redha-Nya...


takkan surut walau selangkah
takkan henti walau sejenak
cita kami hidup mulia
atau syahid mendapat syurga


Buat kamu pejuang agama...mujahid dan mujahidah di luar sana...yang tetap teguh menyampaikan ajaran Islam, agama nan suci...bertahanlah dan perkuatkanlah kesabaranmu...jangan pernah kau ragu...Allah sentiasa bersamamu...


Allah kan pasti bersamamu...
Bila kau selalu bersama-Nya...
Allah kan pasti menolongmu...
Bila kau menolong agama-Nya...


Buat kamu pejuang agama..ingin ku khabarkan di sini...bahawa kau harus keluar dari kepompongmu, kau harus terbang ke dunia luar...melihat panorama alam...meneroka buana...

Ku tahu berada bersama sahabat-sahabatmu yang sefikrah denganmu sangat menyenangkan...sangat menenangkan...sangat dirindukan...Namun ketahuilah...ada yang telah tersalah tafsir dengan kehangatan ukhwahmu itu...ada yang silap menilai dan membuat kesimpulan...

Aku tidak menyalahkan mereka...kerana mereka tidak memahami...kerana mereka tidak mengenali...bahkan kitalah yang harus merefleksi diri, memuhasabah diri...adakah mereka kita dekati, adakah mereka kita perhati...

Aku jua tidak menyalahkan mereka andai meletakkan segala kesalahan itu pada kita, yang bergelar pejuang agama kerana mereka tidak mengerti...bahawa tugas kita hanya menyampaikan bukan menghukum...bahawa tugas kita hanya memberitahu bukan memaksa...

Sekiranya mereka katakan kita tidak bergerak, ibarat air tasik yang pegun di tempat asalnya...aku jua tidak menyalahkan mereka...kerana mereka mungkin tidak memahami dakwah dan hikmah...kita tidak semberono...kita punya cara...kita tidak melulu...kita punya strategi...

Mereka juga tidak salah saat mereka berkata,

"Namun...kenapa gejala sosial masih sana sini? Maksiat di segenap penjuru dunia?" 

Kerana, mereka mungkin sahaja terlupa...


"Akan tetapi (aku hanya) menyampaikan (peringatan) dari Allah dan risalah-Nya. Dan barangsiapa yang mendurhakai Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya baginyalah neraka Jahannam, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya." (Al-Jinn:23)

"Jika mereka berpaling maka Kami tidak mengutus kamu sebagai pengawas bagi mereka. Kewajibanmu tidak lain hanyalah menyampaikan (risalah). Sesungguhnya apabila Kami merasakan kepada manusia sesuatu rahmat dari Kami dia bergembira ria karena rahmat itu. Dan jika mereka ditimpa kesusahan disebabkan perbuatan tangan mereka sendiri (niscaya mereka ingkar) kerana sesungguhnya manusia itu amat ingkar (kepada nikmat)." (Asy-Syura:48)


Wahai pejuang Islam...begitu banyak dakwaan mereka...apa reaksimu? Adakah hanya diam membisu...atau kau ingin berpatah arah? Aku kira bukan itu jawapanmu...


kan melangkah kaki dengan pasti
menerobos segala onak duri
generasi baru yang telah dinanti 
tak takut dicaci tak gentar mati...

bagai gelombang terus menerjang 
untuk tumbangkan segala kezaliman
dengan tulus ikhlas untuk keadilan
hingga pertiwi gapai sejahtera...


Wahai pejuang Islam...bagaimana harus kita berbuat agar usaha dakwah ini berhasil? Bagaimana harus kita berbuat agar Islam kembali dijulang tinggi?

Wahai pejuang Islam...setiap yang keluar dari hati akan masuk ke hati, dan setiap yang keluar bukan dari hati tidak akam masuk ke hati. Dakwah adalah sentuhan dari hati ke hati. Kendati banyak faktor yang mempengaruhi, namun hanya ada satu faktor kunci. Ia adalah hati. Namun, tidak setiap hati bisa menjadi kunci. Hanya hati yang suci dapat menjadi kunci sejati.

Wahai pejuang Islam...kegagalan dalam segala hal termasuk dalam medan dakwah sebenarnya dapat diantisipasi, asalkan semuanya dilakukan dari hati, untuk hati, dan menuju hati. Demikian juga, kejayaan termasuk kejayaan di medan dakwah adalah sebuah kepastian, selama segalanya bermula dari hati, untuk hati, dan menuju hati. Sebab hati adalah sumber segalanya.






Wahai pejuang Islam...namun, dosa akibat kemaksiatan kepada Tuhan telah menyebabkan hati menjadi buta, sehingga kita sering tidak bisa memberikan sentuhan dari hati, untuk hati dan menuju hati. Akibatnya, komunikasi terhenti. Agar hati berfungsi, maka ia harus suci, sehingga segalanya mengalir dari hati...

Wahai pejuang Islam...pintaku cuma satu...rawatlah hatimu secepatnya, jangan sampai ia parah dan sudah tidak mampu dipulihkan. Andai hatimu sudah rosak..maka bagaimana agaknya hati-hati mereka...yang engkau seru...

Wahai pejuang Islam...

Rawatlah hatimu...andai benar kau cinta DIA, 
Rawatlah hatimu...andai benar kau kasihkan Baginda,
Rawatlah hatimu...andai benar kau sayangkan agama,
Rawatlah hatimu...andai benar kau ingin umatmu mulia...




Rujukan: Kitab Tazkiyah tulisan Cahyadi Takriawan, Ghazali Murki




Friday, December 3, 2010

Pejuang Muda

Saat pena melakar rasa di helaian kertas...aku menyusun bait-bait kata dalam aksara...untaian rasa yang akhirnya menghasilkan puisi-puisi ilham dari Yang Maha Sempurna...hati rasa sedikit tenang saat suara hati dilukiskan di lembaran putih...Pejuang Muda...adalah puisi yang aku tulis saat diri pertama kali dikenalkan dengan tarbiyah...sistem didikan beterusan demi melahirkan insan berkeperibadian Muslim...yang akhirnya membina dan membangunkan keperibadian daie. Luahan rasa saat diri terbangun dari lena yang panjang...luahan rasa saat diri merasa indahnya Islam...luahan rasa saat diri disapa manisnya iman...luahan rasa saat diri merasa hangatnya ukhwah kerana-Nya semata...terima kasih Ya Allah...terima kasih Wahai Kekasih Yang Agung...aku mengharapkan pertemuan dengan-Mu di syurga-Mu yang kekal abadi...



~Pejuang Muda~ 










Dunia
Adalah persinggahan
Dan kita manusia adalah pengembara
Diamanahkan Allah untuk mengemudi dunia
Tergalas tanggungjawab
Sebeban peranan
Sebagai pemudi harapan ummah

Umatku
Semarakkan semangat pemudamu
Agar bangkit seperti dahulu
Menjejak langkah para Rasul
Mencari keredhaan Tuhan yang satu

Saudaraku
Ilmu dikejar ibadat dijaga
Akhlak terpuji jadi hiasan
Al-Quran dijunjung sunnah diamalkan
Saling mengingati sesama insan

Beriman dan berjihadlah
Di jalan Allah
Kerana...
Mereka itulah yang mengharap rahmat
Allah

Bangunlah pemudi yang merupakan pejuang muda!!!

Tuesday, November 2, 2010

~Hujan~



Hujan turun membasahi bumi ciptaanNYA.
Hujan yang menambah kesejukan. Hujan yang setia. Hujan yang patuh.
Hujan yang setia menjalankan tugsanya. Hujan yang patuh menunaikan suruhanNYA.

Namun, bagaimana kita? HambaNYA yang diangkat darjat di sisiNYA, makhluk yang paling mulia. Setiakah kita pada Sang Pencipta? Patuhkah kita pada suruhanNYA?


~Hujan...hadirmu membuatkan aku berfikir dan kembali menilai diri...Bagaimana selama ini aku jarang bersyukur padaNYA...



bertemankan titisan hujan
3.12 am
di bilik
mencari di mana DIA di hati
~PENDAMBA CINTA ILAHI~








Sunday, October 31, 2010

~Secerah Pawana~ (part 1)



Seindah sedamai pantai melambai gemalai

Begitulah hati merindu kasih yang padu

Bagaikan pepasir basah disimbah lautan

Begitulah perjuangan ini biar basah dengan iman dan ukhwah

Kita ingin segalanya indah

Sebersih pasir pantai memutih

Seindah dan secerah pawana

Berseri ukhwah dipupuk kasih

Kita ingin segala terlerai

Dengki dan dendam kesumat musnah

Biar keikhlasan berbicara

Di dada hati luas saujana


Hempasan ombak ke pantai, deruan pawana berpuput lembut menenangkan hati-hati kami. Subhanallah, rasa tenang. Kami bertemu lagi dalam rangka menggapai redhaMU Ya Allah...Terima kasih Ya Allah kerana Engkau mengurniakan kami nikmat Islam, nikmat iman dan nikmat tarbiyah ini...tidak terhitung nikmatMU kepada hamba-hambaMU...maka wahai manusia, nikmat Tuhanmu yang manakah yang kau dustakan?

Kami berintrospeksi diri...lihatlah alam yang terbentang luas...bagaimana kamu mengaitkan alam ini dengan kehidupan kamu?

" Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi itu, dan pergantian malam dan siang, terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi yang berakal." (3:190)

"(iatu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri, duduk atau dalam keadaan baring, dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata), "Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan semua ini dengan sia-sia, MahaSuci Engkau, lindungilah kami dari azab neraka." (3:191)

Sahabat yang kucintai keranaNYA berkata, " Air itu merupakan komposisi terbesar dalam badan manusia...." Ya, benar sekali katanya. Justeru aku memikirkan bagaimana agaknya molekul-molekul air dalam tubuhku?

Mari sama-sama kita hayati penerangan di bawah:


Persidangan Air Sedunia baru-baru ini di salah sebuah Universiti di Malaysia membuktikan segala fakta tentang air. Sewaktu persidangan itu, air dari merata dunia diambil dan diperiksa akan “kehebatannya“. Kamera berfrekuensi tinggi berjarak jauh digunakan untuk melihat akan gambaran yang terjadi kepada air yang sedang di uji itu.

Maka air dari Sungai Ganges dan juga termasuk Air Zam-Zam diuji dan dikenal pasti. Sesuatu yang nyata adalah Air Zam-Zam sahajalah air yang begitu kukuh dalam merakam segala perubahan pada kadar gelombang alam semesta ini dan strukturnya begitu kukuh (
segi tiga). Keunikan Air Zam-Zam ini juga adalah strukturnya tidak berubah, ia tidak akan terjejas di dalam apa sekali pun tekanan yang sedang diberikan padanya. Ia tetap utuh sehinggakan seorang Professor dari Jepun memeluk agama Islam kerana keunikan Air Zam-Zam yang beliau ketahui hanya ada di Kaabah. Lagi satu kehebatan air Zam-Zam ini adalah ia sahaja didapati boleh merakam dengan tepat gelombang warna alam yang sering bertukar pada waktu-waktu yang tertentu.

Apabila kita renungkan berpuluh-puluh ayat Al-Quran tentang air, kita akan tersentak bahawa Allah rupanya selalu menarik perhatian kita kepada air. Bahawa air tidak sekadar benda mati. Air menyimpan kekuatan, daya ingatan, daya penyembuh, dan sifat-sifat aneh lagi yang menunggu disingkap manusia. Islam adalah agama yang paling melekat dengan air. Solat fardhu wajib air wuduk 5 kali sehari, ketika solat sunat, malah untuk memegang Al-Quran.

Menurut Ustaz Zamri, jika kita melakukan atau mendengar perkara-perkara yg tidak berfaedah dan negatif molekul air dalam badan kita berubah menjadi sesuatu yang ‘tidak cantik’. Apakan terjadi dengan rohani dan jiwa kita? Jiwa kita juga kacau seperti molekul air itu, rasa tidak tenang. Jika kita mengalunkan zikrullah, membaca Al-quran, berfikiran positif dan membuat kerja-kerja yang diredhai oleh Allah, insyaAllah rohani dan jiwa kita menjadi tenang seperti molekul air zam-zam yang cantik dan berkilau. Wallahua’lam.

(http://addin.ritanm.com/tag/molekul-air-zam-zam/)

Subhanallah...lantas hidup kita saat ini, bagaimana agaknya perubahan molekul-molekul air dalam tubuh kita? Saat kita merasa tenang, saat kita merasa gelisah, saat kita bermunajat kepadaNYA, saat kita bermaksiat kepdaNYA? Adakah air dalam tubuh kita bertambah-tambah kecantikan dan keindahannya atapun makin memburuk? Di posisi manakah kita?

Saya jadi teringat akan sebuah kisah. Pernah membaca novel pembangun jiwa, Ayat-ayat Cinta karya Kang Abik? Saya terfikir akan babak di mana Fahri jatuh sakit lalu dimasukkan ke hospital. Fahri sakit tenat dan doktor mengesahkan dia perlu dibedah kerana didapati ada gumpalan darah beku di kepalanya. Gurunya, Syaikh Utsman datang menziarahinya. Syaikh Utsman terkenal dengan kesolehan dan keperibadian yang tinggi. Syaikh Utsman kemudiannya memberi Fahri sebotol kecil air zam-zam, dan disuruhnya Fahri untuk membaca selawat ke atas Rasulullah s.a.w dan berdoa untuk kesembuhannya sebelum minum air zam-zam itu.

Keesokanny, Fahri merasa badannya lebih enak, kepalanya terasa lebih ringan. Lantas, dia meminta diulang pemeriksaan. Subhanallah, ternyata gumpalan darah di kepalanya sudah tiada!
Allah itu memang Maha Hebat.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Click Here =)