~welcome~

Showing posts with label Diari Hati. Show all posts
Showing posts with label Diari Hati. Show all posts

Sunday, January 27, 2013

Jauh...


Walaupun aku kini jauh...

Aku tidak pernah berhenti kerana aku yakin akan ganjaran dari-Nya.
Aku sentiasa menguatkan jiwa kerana aku ingin cinta-Nya.
Aku pacakkan semangatku sekukuh akar banir demi redha-Nya.

Namun...

terkadang aku rasa penat untuk berjalan dan terus berlari
terkadang aku rasa lelah dan jiwaku lemah
terkadang aku rasa semangatku kian gugur bak daun yang tida dibaja...

~Ya, aku kini jauh...Mungkin juga aku tidak seperti dulu. Mungkin juga gerakku tidak sepantas dulu. Mungkin juga ilmuku tidak seampuh dulu.

~Ya, aku kini jauh...namun tidak sesekali membuat kalian juga jauh. Malah kalian selalu ada dalam doaku, dalam setiap sujudku yang panjang kala aku menghadap Tuhanku.

~Ya, aku kini jauh...lantas, apakah aku kini juga jauh dari hati kalian? Jauh dari semangat kalian? Jauh dari hangatnya ukhwah yang pernah kita baja dan semai atas nama cinta-Nya?


Gambar 'dipinjam' di sini


~Ya, aku kini jauh...namun aku tidak ingin kian menjauh...

Ya Allah bangkitkan kembali semangatku, bangunkan kembali jiwaku, sirami kembali hatiku...

:.Manusia itu mungkin melupakan saat kalian tidak lagi bersama mereka. Namun jangan kalian lupa, kalian ada DIA yang sentiasa dekat dan mendekat walaupun kalian menjauh dan kian jauh.:


p/s: Senyumlah wahai diri walau hatimu terluka. Kerana kamu punya DIA.^____^

Saturday, January 7, 2012

~Belum sempat berjalan dah berlari...

Alhamdulillah, masa diberi kesempatan untuk mencoret di sini.

Alhamdulillah, Allah masih memberi kita peluang untuk kita menambah amal dengan dipanjangkan usia kita.

Alhamdulillah, Allah masih memberi kita peluang untuk kita bertaubat dengan membangunkan tidur kita pada hari ini.

Minggu ini, saya telah memasuki fasa hidup yang baru dan mencabar. Belajar dan bekerja sememangnya sangat berbeza. Teori dan praktikal sememangnya tidak sama. Bahkan, kita harus bijak mengaplikasikan mengikut situasi dan keadaaan.

Dua minggu lepas, saya telah ditawarkan menjadi 'part-time lecturer' di sebuah kolej di Pantai Timur. Memikirkan masih ada ruang masa sebelum ditemuduga dan ditempatkan di sekolah, maka saya mengambil peluang ini untuk menambah pengalaman. Semestinya pendapatan juga. ^__^

Dan saya kira ini adalah salah satu jalan yang ditunjukkan oleh-Nya atas doa saya selama ini. Terima kasih Ya Allah...kerana membukakan jalan dan mempermudah urusan hamba-Mu yang lemah lagi hina ini.

Kini, saya bergelar seorang tenaga pengajar Bahasa Inggeris untuk pelajar-pelajar yang mengikuti kursus berkembar kolej dan sebuah universiti di selatan tanah air. Mengajar mereka yang segelintirnya hampir sama usia dan yang lebih berusia dari saya sendiri sememangnya bukan suatu perkara yang mudah. Pelbagai ragam dan telatah yang saya saksikan. Apatah lagi kebanyakan pelajar saya adalah lelaki. Agak sukar pada mulanya untuk berada di dalam kelas yang dimonopoli golongan ini. Namun, berbekalkan apa yang dipelajari dan pengalaman semasa praktikal, saya berusaha untuk memberikan yang terbaik dalam mengajar dan mendidik mereka. Bukan sahaja untuk lulus peperiksaan bahkan berubah menjadi insan yang lebih baik dari sebelumnya. Saya harapkan titipan doa dari kalian semoga Allah mempermudahkan urusan.

Berbalik kepada tajuk entry saya kali ini...belum sempat berjalan dah berlari? Kata-kata ini saya petik dari seorang kakak pensyarah di kolej tersebut. Saat saya kelihatan agak kelam-kabut menyiapkan tugasan, katanya, "Kesian awak...belum sempat berjalan dah berlari..."

Saya cuma tersenyum dan berkata, "Tak pe...ini pengalaman berharga dalam hidup..."

Kenapa belum jalan dah kena lari ni?

Dua hari lepas, kordinator saya meminta saya menghadiri satu taklimat jabatan kami mengenai kedatangan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) ke kolej kami pada Isnin depan. Kami semua, para pensyarah yang mengajar pelajar Kejuruteraan Awam dikehendaki untuk menyempurnakan fail subjek masing-masing untuk semakan MQA.  Saat saja mendengar hal tersebut, hati dilanda kerisauan. Kelas saya bersama mereka baru saja bermula, cuma kedatangan tidak rasmi yang diperoleh. Saya juga harus menyiapkan rancangan pengajaran selama tiga minggu termasuk dua minggu sebelumnya. Termasuk beberapa dokumen yang sebelum ini yang tidak pernah saya isi semasa untuk peringkat sekolah menengah.

Pada mulanya terasa penat juga dan satu ketika tanpa saya sedar mengeluh...Ya Allah, terlupa seketika yang diri ini cuma hamba dan ini adalah satu ujian-Nya supaya saya lebih dekat dengan-Nya. 

Saat ditimpa bebanan kerja begini, ayat-ayat dari surat cinta-Nya akan kembali menguatkan saya...

"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Dia mendapat (pahala) dari (kebajikan) yang dikerjakannya dan dia mendapat (siksa) dari (kejahatan) yang diperbuatnya." (2:286)

Pesan saya pada diri, yakinlah dengan janji Allah...dan sebagai seorang mukmin, berusahalah membuat yang terbaik dalam segala amanah yang dipikul...jadilah mukmin professional...

Hari ini saya akan kembali berkampung di pejabat untuk menyiapkannya. Semoga Allah memudahkan urusan saya dan urusan kalian.



Buat guru-guru yang kembali berkhidmat, selamat mengajar. Semoga menjadi contoh terbaik buat anak-anak didik anda.





p/s: Seronok juga dapat terus berlari ni...Sangat adventure! ^__^ 






Tuesday, December 13, 2011

Persediaan Sebelum Berkahwin~


Musim cuti sekolah selalunya menjadi pilihan ramai pasangan untuk mendirikan rumahtangga. Saat inilah rumah menjadi meriah dengan hilai tawa adik-beradik dan saudara mara yang pulang ke kampung. Jalinan ukhwah kembali bertaut setelah sekian lama tidak berjumpa kerana kesibukan masing-masing.

Kepada para sahabat yang telah dan bakal mendirikan rumahtangga, semoga kekal bahagia hendaknya hingga ke syurga.


Dua hari lepas, saya berpeluang untuk menghadiri Kursus Pra-Perkahwinan selama dua hari. Ibu tercinta menggalakkan saya menghadirinya. Kata ibu, 'senang nanti.' ^__^.Ditambah pula, kursus ini dianjurkan oleh pejabat kakak saya bekerja, dengan kerjasama JaHEAT (Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu). Maka saya ‘meringankan’ kaki untuk ke sana bersama seorang sahabat yang juga merangkap jiran sebelah rumah.


Sememangnya, banyak ilmu yang dapat saya kutip di sana. Walaupun belum tahu bilakah masanya akan tiba untuk bergelar seorang isteri, namun bagi saya, kursus ini memberikan saya motivasi untuk menyediakan diri dengan ilmu yang secukupnya sebelum masa yang telah ditentukan-Nya itu tiba.

Apa yang saya ingin kongsikan di sini adalah peristiwa pada hari kedua kursus berlangsung. Pada sebelah pagi, para peserta kursus perlu menghadiri dua slot mengenai akidah dan ibadah. Bagi saya, tajuk ini merupakan tunjang kepada kursus pra-perkahwinan ini. Manakan tidak, di dalamnya terkandung tiga komponen terpenting, iaitu Islam, Iman dan Ihsan (3I).

Apa yang menyedihkan adalah sebahagian besar peserta seolah-olah memandang enteng pada slot ini. Ada yang berbual dengan teman di sebelah dan ada juga yang sempat melelapkan mata. Paling mengharukan, kebanyakannya adalah golongan lelaki, yang bakal menjadi nakhoda rumahtangga!

Mungkin pada pandangan mereka slot akidah agak bosan kerana biasa didengari, atau mungkin merasa sudah cukup ilmu tentangnya. Mungkin saja mereka terlupa, ilmu yang didengar berulang-ulang itu lebih mudah dihadam dan diamalkan.

Saat itu ingin sahaja saya berdiri dan berkata, ‘Wahai sahabat sekalian yang saya hormati, mungkin kalian merasakan slot ini tidak berapa penting, namun tahukah kalian bahawa sebenarnya Islam, Iman dan Ihsan diibaratkan seperti tiang, dinding dan atap sesebuah rumah. Jika tiada tiga elemen ini, maka tangga tidak akan dibina. Maka sukarlah untuk membina sebuah rumahtangga!’

Namun, kata-kata itu hanya berlegar-legar di minda, diulang-ulang ucapnya di sudut hati. Saat waktu rehat tiba, saya meluahkan apa yang bermain di minda pada sahabat yang menjadi teman saya. Dia cuma tersenyum yang saya pada firasat saya, mengiakan pendapat saya. Terima kasih teman,sekurang-kurangnya kamu sudi mendengar rasa hatiku yang tidak mampu kuluahkan pada mereka.

Buat para sahabat yang bakal mendirikan rumahtangga, menunaikan sunnah Rasulullah, persiapkan diri kalian dengan ilmu Islam sewajarnya. Teguhkan hati dengan keimanan kepada-Nya dihiasi  dengan Ihsan.

Kenapa? Kerana perkahwinan merupakan satu ibadah. Ia bukan perkara main-main. Bahkan di situlah titik mula lahirnya generasi Islam yang bakal meneruskan perjuangan menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini. Melayari bahtera rumahtangga memerlukan jiwa yang kuat kerana di dalamnya terkandung pelbagai ujian dan dugaan yang bakal kita hadapi. Dan kekuatan itu kita peroleh dari keimanan kita kepada Allah. Di waktu inilah 3I tadi memainkan peranannya.

Sepasang suami isteri yang masuk ke dalam Islam secara sebenarnya akan tahu tanggungjawabnya. Sepasang suami isteri yang berusaha memelihara Iman akan takut dengan azab-Nya sekiranya mereka mengabaikan tanggungjawab. Sepasang suami isteri yang punya sifat Ihsan akan sentiasa jujur dan amanah kerana mereka tahu Allah sentiasa memerhatikan mereka, bahkan mengetahui segala yang terpendam di dalam hati mereka.
Bilamana sifat tanggungjawab, jujur, amanah dan lain-lain sifat mahmudah wujud dalam sesebuah rumahtangga, maka akan wujudlah rumahtangga yang sakinah, mawaddah warahmah. 



Akhir kalam, khas buat para muslimah di luar sana, persiapkan diri kita dengan ilmu yang sewajarnya, agar nanti kita dapat mendidik cahaya hati kita dengan acuan Islam. Perlengkapkanlah diri dengan ilmu rumahtangga seperti memasak dan sebagainya supaya jalinan kasih sayang antara keluarga sentiasa bersemi. Banyakkanlah berdoa semoga dianugerahkan-Nya seorang pendamping hidup yang soleh, berakhlak dan bertanggunggjawab.


Ayuh mujahidah, persiapkan diri untuk menjadi sang bidadari buat bakal suamimu! ^__^




Wallahua’lam

p/s: Segala yang saya kongsikan dia atas cumalah sekadar teori dan pemerhatian dari kehidupan insan sekeliling, apa yang baik jadikanlah iktibar, yang buruk jadikan sempadan. Moga bermanfaat. 








Saturday, February 5, 2011

~Suara Hati~

Bulan Februari 2011 sudah menjengah, terasa begitu cepat masa berlalu.

Hari ini, 4 Februari 2011. Hari ini ingin berkongsi rasa hati dengan kalian.






Bolehkah? Orang kata, diam tanda setuju, ^_^. 
Jadi saya teruskan ye, terima kasih. 

Kalian ada facebook, friendster, tagged, myspace atau seumpamanya?
Pasti majoriti memberikan jawapan, "Ya!".

Kenapa saya tanya soalan ni ye?
Jawapannya, sebab rasa hati yang ingin saya kongsikan berkaitan dengan laman-laman sosial di atas.

Apa yang saya rasa?

Jawapannya, bercampur-baur. Semuanya berkumpul menjadi satu.
Tapi, yang pasti. Satu rasa yang paling mendominasi...SEDIH.


Kenapa SEDIH?
Sukar untuk diluahkan dengan kata.
Sukar untuk dimaknakan dengan tulisan.
Kerana ia soal hati, yang begitu abstrak untuk ditaksirkan.

Lalu, bait-bait puisi ini berlegar-legar di minda, sambil empangan jernih yang dijaga rapi pecah jua akhirnya.







Sahabatku, 
Terasa baru semalam kita terpisah
Walau hakikatnya tidak begitu...

Sahabatku, 
Lamanmu ku jengah
Bertandang mencari khabar...

Sahabatku, 
Langkahmu ku jejak
Pengubat kerinduan ini...

Sahabatku,
Namun yang kutemui
Nyata tidak mengurangkan rindu ini...

Sahabatku, 
Ternyata menjengah ke lamanmu
Menambahkan resah di hati...

Sahabatku, 
Akalku ligat berfikir
Menyusun makna di balik segalanya...

Sahabatku,
Diriku dilanda seribu satu soalan
Yang jawapannya sukar aku gali...

Sahabatku,
Berubahkah engkau kini
Setelah basah dirimu dengan tarbiyah-Nya

Sahabatku,
Inikah jalan yang engkau pilih
Setelah jenuh menajamkan imanmu...

Sahabatku,
Aku terpaku sendiri
Memikirkan arah tujuku sesudah ini...

Sahabatku,
Izinkan aku memimpin tanganmu
Bersama kita kembali ke asalnya...

Sahabatku,
Bertemu dan berpisah kita
Syurga yang hakiki pertemuan abadi...

Sahabatku,
Tiada lagi kata
Yang tinggal cuma rasa hati...

Sahabatku,
Aku sayang kamu
Sungguh ukhwah ini kerana-Nya semata...


Puisi ini hanya secuit luahan rasa hati, tanda kasih saya pada yang bergelar sahabat. Sahabat dunia dan akhirat. Sahabat yang sangat saya sayangi. Ketahuilah sahabat...ikatan akidah antara kita tidak akan pernah terputus walau jarak memisahkan kita.  Embun perjuangan yang kita rasakan tidak akan pernah terlupakan.

Sahabat...

Bila hati tak lagi untuk-Mu...

Bila jiwa tak lagi milik-Mu...

Maka nafsu akan meraja!
Maka syaitan meraih takhta!



Jangan biarkan nafsu mendominasi hidupmu. Sungguh engkau akan penat melayan kehendaknya.
Jangan biarkan syaitan menjadi tuanmu. Sungguh engkau akan tersasar jauh dari jalan-Nya.

Doaku untukmu. Jua untuk diriku.



~ Ya Allah...jangan Engkau bolak-balikkan hati kami setelah Engkau memberikan kami petunjuk dan hidayah-Mu. ~

Saturday, December 11, 2010

Maal Hijrah: Cukuplah Wahai Nafsu!


Hari ini 5 Muharam 1432 Hijrah. 

Alhamdulillah, mungkin sudah tertulis di dalam kitab-Nya, maka pada hari ini, Dia membenarkan diri untuk bertemu kalian lagi. Alhamdulillah, dengan kasih sayang-Nya, maka Dia terus mengurniakan ilmu dan hidayah-Nya. Salam mahabbah buat semua pengunjung laman ini. 

Salam Maal Hijrah.






Semoga ia bukan sekadar ungkapan yang meniti di bibir setiap insan yang bergelar Muslim. Semoga terselit kesedaran penuh penghayatan akan hari keramat ini. Penghijrahan Rasulullah dan para sahabat dari Kota Mekah ke Madinah...demi menyebarkan luaskan agama Islam. 

Bukan ingin menerangkan bermuka-muka apa itu Maal Hijrah, kerana saya yakin sekali kalian sudah mengetahuinya. Lebih arif dan faham, bukan? Kerana kalian mengkaji sirah Rasulullah. 

Saudara seakidahku sekalian...masa kian pantas berlalu...usia kian meningkat dihitung...ajal bilakah sampai waktu? 

Saudara seakidahku sekalian...andai nanti nyawa sudah terpisah dari jasad, kita sudah tidak mampu berpaling ke belakang. Kita sudah tidak mampu merayu dan memohon kepada-Nya agar dikembalikan ke dunia untuk kita menambah amal. 


“Dan (alangkah ngerinya), jika sekiranya kamu melihat orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhannya, (mereka berkata), “ Ya Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah kami (ke dunia), niscaya kami akan mengerjakan kebajikan...” (As-Sajdah:12)


Adakah kita menanti sampai saat itu, maka barulah kita akan mengerti maksud sebenar ‘penyesalan’? Nauzubillah…semoga Allah terus memberikan kita hidayah-Nya agar kita tidak terus hanyut dalam keindahan dan keasyikan dunia yang sementara cuma.

Masa pantas berlalu, maka usia juga kian menganjak, menuju ke penghujungnya. Masa pantas berlalu, maka semakin dekat detik kita menghadap-Nya. Mahukah kita dijemput bertemu-Nya dalam keadaan diri bersalut debu-debu dosa dan maksiat kepada-Nya?
Jika jawapannya TIDAK, maka kita harus berbuat sesuatu…BERHIJRAHLAH…

Jika selama ini kita hidup dikongkong nafsu, kita hidup ‘ditunggangi’ nafsu, maka berhijrahlah. Jangan biarkan jiwa kita terus menjadi hamba nafsu. Jangan biarkan iman kita terus dipenjara. Bebaskanlah iman kita yang telah lama terseksa menanggung beban derita.

Saudara seakidahku sekalian, bawalah IMAN-mu BERHIJRAH dari penjara nafsumu itu. Bawalah imanmu kembali ke tempat asalnya, yang selayaknya untuk ia berada. Bawalah imanmu kembali merajai hatimu. Bawalah imanmu kembali menakluki jiwamu. Berhijrahlah bersama imanmu.

Cukuplah melayan segala kemahuan nafsumu yang betindak selaku raja dan tuan kepadamu, sehingga kau lupa tujuan hidupmu, sehingga kau lupa asal usulmu, sehingga kau lupa peranan dirimu.


“Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku.” (Az-Zariyat:56)


“Yang memperindah segala sesuatu yang Dia ciptakan dan yang memulai penciptaan manusia dari tanah, kemudian Dia menjadikan keturunannya dari saripati air yang hina (air mani). Kemudian Dia menyempurnakannya dan meniupkan roh (ciptaan)-Nya ke dalam (tubuh)nya dan Dia menjadikan pendengaran, penglihatan dan hati bagimu, (tetapi) sedikit sekali kamu bersyukur.” (As-Sajdah:7-9)


Hayatilah bait-bait indah ayat-ayat cinta-Nya buatmu, pasti di situ kau temui cara untuk membawa imanmu kembali menjadi nakhoda hidupmu.

Saudara seakidahku sekalian, katakanlah “Cukuplah wahai nafsuku…!!!”






Puisi ini buat renungan kita bersama…puisi yang tidak kuketahui dari mana asalnya, namun ku berharap, dia, yang mencoretkan tintanya untuk mengingatkan kita, saudara seakidahnya, akan beroleh sahamnya...


CUKUPLAH WAHAI NAFSU

Di sebalik hijab malu; Dia teresak dalam sendu,
Di sebalik hijab malu; Dia berperang,menawan gelodak nafsu… 
 
Neraca nafsu: Penat sungguh menjaga hati..  
Neraca iman : Allah telah berjanji, pasti ada ganjarannya..  

Neraca nafsu: Sabarkah kau mengimbangi dunia dan akhirat sepanjang hayatmu? yang mungkin berpuluh-puluh tahun lagi..  
Neraca iman : Justeru, jaminkan aku, aku akan hidup esok hari..ataupun sekejap lagi.. 
Neraca nafsu: Aku tak mampu.. Bukankah itu ketentuan Ilahi? tapi, bukankah telah lama kau peliharanya, andai kau abaikannya sebentar, mungkin tak memberikan kesan pada amal-amalmu yang terdahulu.. dah banyak!  
Neraca iman : Justeru, jaminkan aku, dgn amalku itu.. sudah cukup membuat aku menghirup harum JannahNya..

Neraca nafsu: Itu juga ketentuan Ilahi, hanya Dia yg layak memberi jaminan
Neraca iman : Justeru, marilah bersamaku..terusan mengejar Cinta Dia.. 

 
Neraca nafsu: Cinta Dia.. ya, perlu itu. Tapi, kutahu..nalurimu juga mahukan cinta dunia..bukan? ku pasti, kau juga tahu, betapa indahnya cinta dunia?
Neraca iman : Wahai nafsu.. tenang-tenanglah dikau..kankucurahkanmu dengan Kasih dan Cinta Tuhan..hentikan bicaramu wahai nafsu.. 


Neraca nafsu: Cukupkah keinginanmu dengan hanya Cinta Tuhan?
Neraca iman : Memang benar seperti apa yang dikhabarkan, kau takkan pernah diam memujuk rayu… huhu~ jika kudihalalkan dengan cinta dunia sekalipun, Cinta Tuhan masih yang pertama. Cinta itu perlu mekar sampai bila-bila, wahai nafsu… Tak rasa bersalahkah dikau, tak mencintai Dia yang telah sekian lama menyintaimu? Yang tak putus-putus menyintaimu? Nafsu, sudahlah… Dia pasti rindu pada esak tangismu, rengekan manjamu, pujuk rayumu padaNya.. Dia pasti rindu dan cemburu, andai kau punya cinta yang lebih dari cintamu padaNya.. Jangan pernah kau abaikan Dia.. selangkah kau mendekatinya, seribu langkah Dia akan mendekatimu.. aku rindukan BelaianNya.. jgn kau rayu-rayu aku lagi, wahai nafsu…cukuplah..

Neraca nafsu: ……….. baiklah..bisikkan padaku perihal Cinta Tuhan..
Neraca iman : Katakanlah (Muhammad),” jika kamu mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mencintaimu dan mengampuni dosa-dosamu” Allah maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Katakanlah (Muhammad),”taatilah Allah dan Rasul. Jika kamu berpaling, ketahuilah bahawa Allah tidak menyukai orang-orang kafir. (Ali Imran:31-32)
Neraca iman : Itu janjiNya, aku perlu ikut apa yg Rasulullah ajarkan, dan apa yg Allah khabarkan.. jgn kau teruskan pujuk rayumu.. kerana aku ingin sahut CintaNya..
 
Neraca nafsu: Baiklah..Kali ini kau menang.. Fitrahku memang memujuk rayu untuk menyimpangkanmu.. Moga cintamu pada Tuhan kan selamanya menjinakkanku. Aku kan datang lagi memujuk rayu..
Neraca iman : Moga aku terus diberi kekuatan… Wahai Allah..hambamu masih tercari-cari manisnya bercinta denganMu, jangan Kau izinkan lagi aku kalah dengan pujuk rayu nafsu.. Moga Allah beri kekuatan..dengan kekuatan CintaNya..Amin..




Sunday, November 7, 2010

~Pulanglah Wahai Hati~






Ya Allah...apakah rasa ini?
Ya Rahman...aku memohon kekuatan
Ya Ghaffur...aku memohon keampuan

Sungguh...sukar untuk aku menafsirkan

Sungguh...sukar untuk aku ungkapkan
Apa yang mengisi ruang kalbuku


Ya Rahman...aku memohon kekuatan

Ya Ghaffur...aku memohon keampunan


Sungguh...yang ku cari adalah ketenangan

Sungguh...yang ku cari adalah ketenangan


Hakikatnya...ku tahu

Aku perlu membawa hatiku pulang ke tempat asalnya

Hakikatnya...ku tahu

Aku perlu membawa hatiku pulang kepada pencipta-Nya







Wahai hati... Kembalilah
Wahai hati... Pulanglah
Wahai hati...
Hanya Dia yang Satu

Wahai hati...
Tenanglah dikau
Wahai hati... Pulanglah ke tempat asalmu
Wahai hati...Kembalilah kepada Penciptamu


Kerana di situ...

Aku tahu

Ketenangan bakal menjengah
Kerana di situ...
Aku tahu

Ketenangan akan menyapa


Wahai hati...Pulanglah

Tuesday, November 2, 2010

~Hujan~



Hujan turun membasahi bumi ciptaanNYA.
Hujan yang menambah kesejukan. Hujan yang setia. Hujan yang patuh.
Hujan yang setia menjalankan tugsanya. Hujan yang patuh menunaikan suruhanNYA.

Namun, bagaimana kita? HambaNYA yang diangkat darjat di sisiNYA, makhluk yang paling mulia. Setiakah kita pada Sang Pencipta? Patuhkah kita pada suruhanNYA?


~Hujan...hadirmu membuatkan aku berfikir dan kembali menilai diri...Bagaimana selama ini aku jarang bersyukur padaNYA...



bertemankan titisan hujan
3.12 am
di bilik
mencari di mana DIA di hati
~PENDAMBA CINTA ILAHI~








Tuesday, September 7, 2010

~Saat Penaku Menari di Pentasnya~


Salam buat semua pelawat PENDAMBA CINTA ILAHI. Teristimewa buat 'followers', terima kasih, jazakumullah wa khairan jaza, semoga Allah merahmati kita semua. Semoga kehadiran blog ini di dunia maya mampu membantu mendekatkan diri kita pada Sang Pencipta, insyaAllah.

Entry kali ini sedikit berbeza, istimewa buat pengikut setia PENDAMBA CINTA ILAHI.

~Saat Penaku Menari di Pentasnya~

Penaku adalah jemariku yang dianugerahkan TUHAN yang menari di papan kekunci selaku pentasnya.

PENDAMBA CINTA ILAHI...kenapa ya aku memilih nama ini buat tatapan semua? Tidak lain kerana sesungguhnya aku amat mengharapkan CINTA-NYA. Terlalu. Aku merasakan hidup ini tidak akan bererti sebelum aku mendapatkan CINTA-NYA.

Justeru, jemari 'pemberian' NYA ini ku gerakkan, untuk mengajak kalian (wahai sahabatku) turut sama mengejar CINTA-NYA. Sungguh aku merasa bahagia saat manusia seluruhnya kembali kepada Yang Maha Sempurna.

~Ya Tuhan, kurniakan aku CINTAMU sebelum nyawa terpisah dari jasad~

Aku jua menulis atas rasa cintaku kepada kalian (wahai sahabatku)...sungguh aku mencintai kalian sepenuh hatiku keranaNYA. Sesungguhnya tidak sempurna iman seseorang selagi dia tidak mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri...

Aku merasa senang saat penaku menari di pentasnya...aku bahagia kerana aku bisa berkongsi rasa dengan kalian (wahai sahabatku)...

~Saat Penaku Menari di Pentasnya~

Wahai sahabat, ku kira dapat kalian simpulkan...ku gerakkan penaku di pentasnya kerana apa???
Kerana satu rasa...
CINTA dan cinta...
CINTA PADA SANG PENCIPTA
dan cinta pada yang diciptakan...
itulah KAMU WAHAI SAHABAT...
AKU CINTA PADA RABBKU
dan
AKU CINTA PADA KAMU SAHABATKU


Tuesday, August 17, 2010

CINTA vs cinta



Ya Allah, kenapa rasa ini hadir, sebelum aku betul-betul meletakkan rasa cintaku yang teratas padaMu. Kenapa rasa ini hadir sebelum aku betul-betul menyerahkan sekeping hati ini untukmu...Ya Allah, sungguh aku merasa berat dengan ujianMu...terkadang aku merasa tak terdaya...terkadang aku merintih pilu dalam munajatku agar Engkau tidak menganugerahkanku rasa itu sebelum tiba waktunya...sungguh Ya Allah aku belum bersedia...jiwa ini masih rapuh, iman ini tersangat lemah...

Wahai hati, kenapa ini yang kau rasakan, kenapa kembali mengulit kenangan, padahal itu yang harus kau lupakan...

Wahai hati, tak terdayakah kau menahan gejolak rasa ini, sungguh kau belum cukup bersedia...

Ya Rabb, jika benar dia milikku, dekatkanlah hatinya dengan hatiku...
jika benar dia bukan milikku, maka jadikanlah aku termasuk golongan hambaMu yang redha dengan ketentuanMu...

Wahai diri, sesungguhnya telah Rabbmu nukilkan di dalam surat cintanya utkmu...bahawa sesungguhnya "at-toyyibat littoyyibin..." (an-nur:26)
Wanita baik itu dijanjikan untuk lelaki yang baik dan sebaliknya.Telah terungkap sebaris nama lelaki di Loh Mahfuz untukmu. Cuma peribadinya ditentukan oleh sejauh mana ketinggian peribadimu. Jika kau thabat di atas jalan yang diredhai, insyaAllah, si dia turut di jalan yang sama.

Wahai diri, lupakan segala kegundahan, teguhkan diri pada CINTA HAKIKI nescaya cinta lelaki soleh turut kau miliki. Senyumlah pada sinar yang menantimu di hadapan...

Ya Allah, teguhkan aku di jalanMu, agar si dia turut berada dalam redhaMu...
Ya Allah, perindahkanlah akhlakku, agar si dia turut dihiasi akhlak yang cantik...
Ya Rahman, aku mohon CINTAMU...agar jiwa ini terisi, hati ini terus tenang dalam dakapan KASIHMU...
Ya Rahim, aku mohon pelihara si dia walau di mana jua dia berada...dekatkan dia padaMu Ya Rabb..kerana sesungguhnya tidak ada sebaik-baik pelindung selainMU...

Saturday, April 24, 2010

~SALAM UKHWAH~



Naelah al Faratisyah, sebaris nama yang cukup indah. Beliau merupakan antara serikandi Islam yang terulung di zaman Khalifah Uthman. Naelah tidak lain merupakan isteri kepada Saidina Uthman. Naelah memiliki akhlak yang terpuji sebagai muslimah dan rupa yang menawan hati setiap insan yang melihatnya. Beliau merupakan sayap kiri kepada perjuangan suaminya. Sememangnya Naelah adalah seorang isteri yang ikhlas, setia dan taat kepada suami tersayang.

Lantas, saat membaca kisahnya, diri rasa tertarik dan kagum. Subhanallah tak dapat dibayangkan bagaimana Naelah sanggup kehilangan 5 jarinya demi menyelamatkan nyawa suami tercinta. Tiada lagi perkahwinan kedua buatnya seletah Saidina Uthman kembali bertemu Tuhannya.

Senangnya hati andai dapat menggunakan nama itu, sebagai pemicu dan pendorong dalam membina diri menjadi sepertinya, sanggup mengorbankan diri demi membantu suami dalam menegakkan kalimah tertinggi, Tidak ada tuhan yang disembah melainkan Allah...

Moga menjadi perangsang buat kita semua. Semoga perkongsian di sini mampu menambah amal dan cinta kita kepadaNya.

Salam ukhwah...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Click Here =)