~welcome~

Thursday, December 15, 2011

Analogi:Lampu Isyarat dan Kehidupan

Sudah sekian lama terfikir untuk menghasilkan entry ini. Alhamdulillah, hari ini Allah memudahkan penulisannya. Semoga bermanfaat buat kalian semua.


Sebut sahaja lampu isyarat atau 'traffic light', saya pasti semua orang pernah melihatnya, bahkan setiap hari. Tambahan pula bagi yang bekerja ataupun belajar, pemberi isyarat ini pasti ditemui di persimpangan jalan dan kawasan-kawasan yang sewaktu dengannya. Jika ditanya, apakah warna-warna lampu isyarat, usahkan yang dewasa, kanak-kanak pun boleh menjawab dengan pantasnya. Merah, kuning dan hijau. Itulah warna-warnanya. Sekarang, saya ingin anda memilih urutan lampu isyarat yang sebenar...


Bagaimana? Dah dapat jawapannya? Keliru ? Nampaknya anda kena ambil ujian memandu lagi sekali.
Begitulah kita, walaupun boleh dikatakan setiap hari kita melihat lampu isyarat, namun kita masih kurang pasti akan kedudukan warnanya yang sebenar. Kenapa? Kerana kita kurang peka atau kurang ambil berat. Apa yang kita tahu, "hijau jalan!"


Entry kali ini, saya bukanlah ingin anda menghafal susunan warna-warnanya, namun lebih dari itu, saya ingin kita bersama-sama meneroka rahsia di sebalik lampu isyarat ini.

Sebagaimana yang kita tahu, warna-warna lampu isyarat memberi maksud seperti berikut:

Merah - Berhenti
Kuning - Bersedia untuk berhenti/bersedia untuk pecut (mana satu ek yang tepat?)
Hijau - Jalan

Sebagaimana jalan raya ada peraturannya, ada lampu isyaratnya, begitulah juga dengan kehidupan kita. Apakah yang disebut sebagai kehidupan kita? 

Islam adalah kehidupan kita. 'Islam is the way of life'.

Islam punya hukum dan peraturannya yang tersendiri sepertimana yang telah ditetapkan oleh Yang Maha Sempurna. 

Allah telah menetapkan suruhan dan larangan-Nya. Allah telah menetapkan yang mana haram dan yang mana halal. Allah telah menetapkan yang mana dosa dan yang mana pahala. 

Lampu Isyarat Merah

Sememangnya menjadi fitrah manusia, tergesa-gesa dan berkeluh-kesah. Walaupun tahu merah maksudnya berhenti, namun tetap sahaja ada yang melanggarnya. Undang-undang manusia menetapkan sesiapa yang melanggar lampu isyarat merah akan dikenakan denda maksimum RM300 (bagi yang terselamat la...). Bagaimana kalau berlakunya kemalangan, menyebabkan kehilangan nyawa dan harta? Mungkin ada yang berkata, "Ala, aku pernah je langgar lampu merah. Selamat je. Tengok kaki la beb!"

Memang benar. Ada yang 'terselamat' daripada didenda atau ditimpa kemalangan. Ini menyebabkan mereka merasa diri hebat. Akhirnya mendorong mereka untuk mengulangi perkara yang sama. Malahan, mereka rasa seronok bila dapat berbuat demikian. 

Sahabat sekalian, 

Buatlah perbandingan melanggar lampu isyarat merah dengan melanggar hukum Allah. 

Sebagai contoh, walaupun tahu berzina itu dosa besar, masih ada yang sanggup melakukannya. Merasa diri hebat, kerana tidak pernah ditangkap jabatan agama, diserbu pihak berwajib, (mereka lupa, Allah sentiasa melihat mereka) malah yang gadisnya tidak pernah pula 'termengandung'. Hal ini mendorong mereka mengulangi perbuatan keji itu. Tidak pernah terfikir akan kesannya. Bila tiba-tiba si gadis bunting, si jejaka melarikan diri entah ke mana. Habis manis sepah dibuang. Akhirnya anak dalam kandungan menjadi mangsa, dibuang ke dalam tong sampah, mangkuk tandas dan sebagainya. (Sedar atau tidak, makin menambahkan lagi dosa). Tidak pernah terfikir andai Allah menarik nyawa saat bermaksiat kepada-Nya. Na'uzubillah... Begitukah kesudahan yang diharap-harapkan?

"Tetapi mengapa mereka tidak memohon (kepada Allah) dengan kerendahan hati ketika  siksaan Kami datang menimpa mereka? Bahkan hati mereka telah menjadi keras dan syaitan pun menjadikan terasa indah bagi mereka apa yang selalu mereka kerjakan." (Al-An'am:43)

Lampu Isyarat Kuning

Seringkali ada yang salah faham atau sengaja buat-buat tak faham, bila lampu kuning, mereka bukannya bersedia untuk berhenti, bahkan menekan pedal minyak dan memecut supaya tidak menunggu lampu merah yang seterusnya! 

Rasanya lebih ramai yang memilih untuk memecut berbanding memperlahankan kenderaan. Terlalu sedikit yang memilih untuk memperlahankan kenderaan dan berhenti, seterusnya menunggu lampu hijau lagi. 

Sememangnya tidak salah seandainya kita memilih untuk memecut, namun risikonya kita sendirilah yang harus memikulnya. 

Membuat perbandingan, di dalam Islam juga terdapatnya hukum makruh dan syubhah. Perkara yang makruh bermaksud, membuatnya tidak mengapa tetapi meninggalkannya mendapat pahala. (Tak nak pahala ke?)

Sebagai contoh, seandainya kita ragu-ragu dengan status halal sesuatu makanan, maka apa salahnya jika kita terus meninggalkannya. 

Dalam sebuah hadith, Rasulullah s.a.w bersabda, "Tinggalkanlah apa yang meragukanmu dan kerjakanlah apa yang tidak meragukanmu." (HR Tirmidzi dan Nasa'i)

Dalam sebuah hadith lain, diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim, dari Abu Abdillah An-Nu'man bin Basyir, Rasulullah s.a.w bersabda:

"Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu juga jelas, antara keduanya terdapat yang samar yang tidak diketahui oleh banyak umat manusia. Barangsiapa menjaga diri dari hal-hal yang samar itu, maka ia telah menjaga agama dan harga dirinya, dan barangsiapa jatuh ke dalam perkara yang samar, maka ia telah jatuh ke dalam wilayah yang haram, seperti seorang pengembala yang menggembala di sekitar daerah terlarang, sedikit lagi ia akan masuk ke dalamnya. Ketahuilah setiap Raja itu mempunyai daerah terlarang. Ketahuilah sesungguhnya daerah larangan Allah adalah hal-hal yang diharamkan-Nya..."

Lampu Hijau

Sepertimana fungsinya yang membolehkan kenderaan mula bergerak menuju  destinasi, begitulah ia begitu disukai dan ditunggu-tunggu. Ada yang sampai berhenti melepasi garisan putih kerana tidak sabar menunggu 'isyarat' dari 'si hijau'.

Memetik kembali dari hadith di atas, sesungguhnya yang halal itu jelas. Begitulah dalam Islam, Allah telah menggariskan suruhan-Nya dengan sejelas-jelasnya. Ada yang harus dilaksanakan, ada yang sunat dilakukan, dan yang paling perku diitikberatkan adalah perkara yang WAJIB dilaksanakan sebagai umat Islam. 

Membuat perbandingan, mungkin lebih ramai yang sukakan 'si hijau' di tepi jalan berbanding 'si hijau' yang lagi satu ini. 

Sebagai contoh, solat merupakan tiang agama, mengerjakannya adalah wajib bagi yang bergelar muslim. Namun, masih ada yang berani mengingkarinya. Mungkin sahaja mereka ini terlupa bahawa azab Allah itu sangat dahsyat. 

Penutup

Mungkin sahaja apa yang saya coretkan di sini tidak mampu untuk merangkumi semuanya. Namun, apa yang saya ingin tekankan, sepertimana lampu isyarat berfungsi untuk menjaga dan memelihara keharmonian penghuni di jalan raya, maka begitulah juga hukum-hukum yang telah termaktub dalam Al-Quran dan As-Sunnah. 

Mereka yang ingin 'perjalanannya' selamat ke 'destinasi', maka mereka akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mengikuti segala aturan yang ditetapkan. Bila 'lampu merah', mereka 'berhenti' dengan patuhnya, bila 'lampu kuning', mereka memilih 'jalan selamat untuk berhenti', dan bila 'lampu hijau' mula menyala, mereka tanpa ragu 'meneruskan perjalanan' dengan harapan Allah akan memberkati dan merahmati mereka. 

Akhir kalam, jadikanlah Islam cara hidup kita. Ingatlah Allah sentiasa memerhatikan kita, bahkan Dia tahu apa yang tersembunyi di dalam hati kita. Bersyukurlah kerana kita terpilih menjadi umat-Nya.

Jangan sesekali kita berkeluh kesah dengan aturan hidup ini kerana dengan mematuhinyalah kita akan terselamat. Sesungguhnya syaitan tidak akan pernah berputus asa memujuk rayu manusia untuk bersama-sama masuk ke neraka jahanam.

"Hai orang-orang yang beriman, masuklah kalian ke dalam Islam secar kaffah (keseluruhan). Dan janganlah kalian mengikuti langkah-langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu."(Al-Baqarah:208)








3 comments:

  1. salam 'alaik.

    Menarik jg analogi ini.

    Namun sy sering jg memecut kenderaan bila lampu isyarat kuning. Bukan sb lambat nk tunggu hijau sgt, tp bahaya kl brek secara mengejut apalagi kl tgh laju (sb hijau, kita lajukan kenderaan). Lebih2 lagi kalau kereta belakang juga laju.

    cmna tu? :)

    ReplyDelete
  2. ~Al-Mua'llim~

    Kalau berhenti itu memudharatkan, maka teruskanlah perjalanan.^^

    Ana cuma cuba membuat perbandingan, hasil dari pemerhatian dan ilmu yang tak seberapa ni. Sekadar perkongsian buat mrk yg kdg-kdg meringan-ringankan hukum Islam.

    Jazakallahu khairan atas pandangannya

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Click Here =)