~welcome~

Thursday, March 15, 2012

Didikan Cinta (1)


     Nur Sakinah termenung. Mengenangkan masa lampau, saat-saat yang telah berlalu namun terkadang datang mengusik kenangan dalam lipatan memorinya. Pelbagai rasa mengusik jiwanya. Gembira, suka, sedih jua duka. Semuanya bercampur menjadi satu. ‘Ah…kenapa kenangan itu sukar diluputkan?’ Hatinya berbisik. Sesungguhnya dia merasa sangat malu untuk mengimbau kembali sejarah silamnya. Malu kepada diri sendiri. Malu kepada Tuhannya. Tanpa sedar, titisan air jernih mengalir dari tubir matanya. ‘Ya Allah…terima kasih untuk hidayah-Mu, aku bersyukur Ya Allah…sungguh, nikmat ini yang terbesar buatku…kekalkan aku dengan hidayah-Mu hingga ke akhirnya…’ Hati kecilnya berdoa lagi. Kali ini ditemani titisan air mata yang mengalir laju di pipi mulusnya. Hatinya sebak.  Lantas, dia bangun menapak ke bilik air. Di situ, dia menangis lagi, melepaskan segala rasa yang terbuku. Kemudian, dia berwudhu’. Dia berharap ketenangan meresap masuk ke lubuk hatinya saat ini. Usai berwudhu’ dia menunaikan solat sunat. Di akhir solatnya, dia berdoa kepada Rabb Yang Maha Agung agar segala dosa-dosanya diampunkan. Sungguh, dia malu pada diri, malu pada Zat Yang Menciptakan…segala isi hatinya dirangkum dalam sujudnya yang panjang. Kemudian, doa Nabi Yunus saat berada dalam perut ikan dibacanya berulang-ulang. Dirinya larut dalam rasa kehambaan kepada Yang Maha Sempurna. Air mata keinsafan mengalir bersama alunan zikir itu. Setelah itu kitab suci yang merupakan mukjizat agung Rasulullah diambilnya. Lantas, bibirnya lancar mengalunkan ayat-ayat cinta-Nya. Dia menangis lagi tatkala membaca ayat-ayat azab-Nya. Sungguh, dia sangat takut mengenangkan diri yang penuh debu-debu dosa. Tatkala azan Zohor berkumandang, dia bangun memperbaharui wudhu’. Sedayanya dia cuba mengamalkan sunnah Rasul junjungan.

Barangsiapa yang berwuduk, padahal dia masih ada wudhu, maka baginya sepuluh kebaikan. - HR Abu Daud

     Usai solat, dia kembali menjalankan tugas sebagai khalifah di muka bumi Tuhan yang luas ini. Pada hujung minggu beginilah masanya lebih banyak diluangkan untuk mencambahkan cinta-Nya pada Yang Maha Esa dengan cara mendekatkan diri pada-Nya melalui segala amalannnya seharian. Baginya mengejar akhirat tidak semestinya meninggalkan dunia, mengejar dunia pula tidak bererti meremehkan akhirat. Bahkan keduanya perlu bergerak seiring. Masih banyak pekerjaan yang perlu dilaksanakan. Dia tidak mahu masanya tersia begitu sahaja. Bukankah masa itu ibarat pedang yang bisa membunuh. Andai tidak dimanfaatkan sepenuhnya, samalah seperti dia menghunus pedang itu ke lehernya sendiri. Buku-buku pelajarnya di atas meja diambil dan disemak satu persatu. Bagi pelajar yang bagus kerjanya dia tidak lupa memberikan pujian, manakala bagi pelajar yang agak lemah dia menitipkan kata yang membina. Semoga dengan ini, para pelajarnya lebih bersemangat untuk belajar dan memperbaiki diri. Tinggal lebih kurang 10 minit sebelum waktu Asar, dia telah selesai menyemak semua buku-buku tersebut. Dia menarik nafas kelegaan lantas bibirnya mengukirkan senyuman seraya mengucapkan puji-pujian kepada-Nya. Dia bersyukur kerana Sang Pencipta memudahkan urusannya dalam menyemak buku-buku pelajarnya, dia bersyukur kerana masih diberi peluang menyahut panggilan agung seterusnya sekaligus melunaskan tanggungjawab selaku insan bergelar Muslim. Setelah merehatkan diri barang seketika sekadar melepaskan lelah, dia bergegas ke bilik air untuk berwudhu’. Tidak lama lagi azan Asar akan berkumandang, dia ingin menunggu panggilan agung itu dengan jiwa dan hatinya benar-benar bersedia untuk menyembah-Nya.


bersambung....^^

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Click Here =)