~welcome~

Tuesday, December 14, 2010

Memikul Keldai

Ayuh kita baca kisah seorang pemuda dan guru sufi.

Suatu hari, seorang pemuda diserahkan oleh bapanya kepada seorang guru sufi untuk dididik cara mengawal nafsunya.

“Siapkan bekalan. Mari ikut saya bermusafir,” kata guru sufi itu sebaik sahaja pemuda itu tiba di madrasahnya. 

Pemuda itu agak terkejut kerana dia masih keletihan akibat perjalanan yang jauh ke madrasah guru sufi itu.

“Apa yang perlu saya bawa?”

“Bawa pakaian sehelai dua,” jawab guru sufi.

Mereka pun memulakan perjalanan yang jauh. Setelah agak lama, mereka menemui satu bukit yang agak tinggi.

“Kita akan mendaki bukit ini.”

“Mana jalannya?”

“Kita susuri jalan di tepi lereng bukit,” kata guru sufi.

“Nanti, nanti…saya sangat keletihan. Alangkah baik jika ada keldai. Kita boleh menunggangnya.”

“Kamu hendak menunggang keldai? Baiklah, mari kita membelinya dahulu.”

Dalam hatinya berasa lega, dia tidak akan terpaksa berjalan lagi. Dia sangat-sangat keletihan.

Setelah guru sufi membeli dua ekor keldai, dia pun berkata, “Sekarang ada dua ekor keldai. Saya akan menunggang salah seekor daripadanya…”

“Dan saya akan menunggang seekor lagi,” pintas pemuda itu.

“Tidak!” kata guru sufi.

“Mengapa?”

“Jangan bertanya. Patuh saja.”

Pemuda itu terkejut. Tetapi dia tidak berani melawan.

“Habis kita akan biarkan seekor keldai ini berjalan tanpa apa-apa beban?”

“Tidak. Sebaliknya, kamu mesti memikulnya!”

“Memikul keldai menaiki bukit yang tinggi ini?”

“Ya, pikul keldai ini dan naik ke atas bukit,” jawab guru sufi itu pendek dan tajam.

Maka dengan susah payah, dia memikul keldai sambil menyusuri jalan di tepi lereng bukit itu. Termengah-mengah. Dia benar-benar keletihan. 

Sebaliknya guru sufi itu bersantai-santai menaiki keldainya berjalan di hadapan pemuda itu. Belum sampai separuh perjalanan, pemuda itu pun jatuh keletihan. Dia hampir pengsan.

Setelah merawat si pemuda dan memberinya minuman, guru sufi itu pun berkata, “Anakku, keldai itu umpama nafsumu. Allah ciptakan nafsu untuk kau menungganginya bukan kau ditunggangi olehnya.”

“Maksud tuan?”

“Dengan menurutkan nafsumu, kau akan disusahkannya. Jiwa, hati dan badanmu akan kelelahan. Kehendak nafsu tidak ada batas dan tidak pernah puas. Lepas satu-satu kehendak dan kerenahnya. Ini samalah dengan kau menaiki bukit yang tinggi.”

Pemuda itu terdiam.

“Sebaliknya, jika kau menunggangi nafsu dengan mengawal dan menguruskannya, kau akan mendapat kemudahan dalam menjalani kehidupan. Nafsu berguna selagi dia menjadi hamba tetapi apabila dijadikan tuan, apalagi tuhan, maka hidup kita akan dihancurkan.”

“Seperti saya yang memikul keldai tadi?”

“Ya. Dan lihat pula betapa mudahnya menyusuri jalan di lereng bukit ini dengan menaiki keldai. Begitulah nafsu apabila dikawal dan digunakan ke  arah kebaikan.”

“Ya. Ya. Orang yang mengikut perintah hawa nafsunya bagaikan memikul keldai mendaki bukit!” akui pemuda itu.

Subhanallah…begitu besar pengajaran yang terselit dalam cerita ini. 

Benarlah kata Saidina Ali, “Berbahagialah orang yang dapat menjadi tuan untuk dirinya, menjadi PEMANDU untuk NAFSUNYA dan menjadi kapten untuk bahtera hidupnya.”







Malangnya, ramai di antara kita hari ini menjadi hamba kepada nafsu kita sendiri.

Kita sering memberi tumpuan kepada musuh zahir seperti Yahudi dan Nasrani. Kedua golongan ini merupakan musuh yang dititikberatkan oleh umat Islam masa kini. Ya, memang kedua-dua musuh Islam ini sangat menyusahkan kita. Namun, ada musuh lain yang lebih dahsyat dan hebat angkaranya. Itulah hawa nafsu kita sendiri.

Ironinya, lebih mudah mengajak berdemonstrasi membakar bendera Israel dan Amerika daripada mengejutkan mereka untuk membuang selimut pada waktu dingin pagi untuk solat Subuh!






Sungguh, kehendak nafsu walaupun sangat merosakkan tetapi sangat kita sukai. Dan, apabila sesuatu itu kita cintai, kita akan menjadi buta lalu kejahatan dilihat baik. Malah, kita akan menjadi hamba kepada apa yang kita cintai. 

Ingatlah pesanan Amirul Mukminin, Saidina Umal Al-Khattab, “Aku memerintahkan kepadamu dan mereka yang bersama-samamu supaya menjauhkan diri daripada maksiat kerana sesungguhnya DOSA-DOSA yang dilakukan oleh UMAT ISLAM LEBIH AKU TAKUTI DARIPADA MUSUH-MUSUH ISLAM.”

Yakinlah dengan janji Allah:

“Dan adapun orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri daripada nafsunya, maka sungguh syurgalah tempat tinggalnya.” (Al-Nazi’at: 40-41)

Ayuh, mujahadah melawan nafsu!



Rujukan: Solusi Edisi ke-25





























5 comments:

  1. Benar ukhti.

    Ramai orang yang mampu mengurus syarikat yang besar
    ramai orang yang mampu menguruskan perniagaan yang hebat
    Ramai orang yang mampu menguruskan organisasi besar
    tetapi berapa ramai saja yang mampu menguruskan nafsu.

    Teruskan berkongsi untuk kebaikan bersama

    ReplyDelete
  2. as salam...entry yg sgt berguna utk dri ini yg slalu mngikutkn hawa nafsu...trima kasih sbb berkongsi...

    ReplyDelete
  3. to Al-Mu'allim

    kerana nafsu itu sangat hampir dgn kita, mungkin
    insyaAllah, untuk peringatan diri juga terutamanya.

    ReplyDelete
  4. to SDS

    sesungguhnya nafsu itu terbahagi kpd tiga, nafsu muthmainah, nafsu lawamah dan nafsu amarah...(insyaAllah akan dilanjutkan dlm artikel lain)

    bersama menjinakkan nafsu kita menjadi nafsu muthmainah (nafsu yg merasa tenang bila di pangkuan-Nya).

    artikel ini utk ingatan diri sendiri juga, mana mungkin kita mencanangkan ke seluruh dunia, namun kita sendiri tidak melaksanakannya (bukan tidak mampu tetapi tdk mahu)...


    wallahua'lam

    ReplyDelete
  5. to Anonymous:

    terlalu mendalam maksud '...'
    sukar ditafsirkan, moga mendapat hikmahnya.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Click Here =)