~welcome~

Tuesday, November 2, 2010

~Jangan Marah~




Dari Abu Hurairah r.a, ada seorang laki-laki berkata kepada Nabi s.a.w, "Berilah aku wasiat." Rasulullah s..a.w bersabda, "Jangan Marah!" Baginda mengulang-ulang beberapa kali ucapan, "Jangan marah!" (HR Bukhari)

Islam itu adalah cara hidup kita. Islam itu syumul. Islam itu sempurna. Islam itu indah. Telitilah hadith di atas dengan mata jua hatimu...

Baginda berpesan, jangan marah! Kenapa?
Kerana orang yang marah tidak mampu mengawal emosi.
Kerana orang yang marah akan bertindak di luar batas pemikirannya.

Orang yang kuat itu adalah orang yang mampu mengawal kemarahannya. Terkadang kita merasa kuat bila kita meluahkan kemarahan kita. Kita merasa puas bila insan lain di sekeliling tahu yang kita sedang marah. Kita menggunakan kata-kata yang tidak sepatutnya. Kata-kata yang kasar lagi keras.

Wahai sekalian manusia
Wahai yang bergelar muslim
Wahai yang bergelar mukmin
Islam itu tidak mengajarkan begitu
Apakah kau membuktikan kekuatanmu dengan kemarahanmu?

Ayuh kita selusuri sirah Rasulullah..kita bawa diri kita berlayar seketika ke zaman para sahabat...

Masih ingat kisah seorang Badwi yang datang ke masjid ketika Rasulullah dan para sahabat sedang berkumpul? Masih ingat bagaimana Badwi itu menjadi tetamu yang biadap dengan membuang air di dalam rumah Allah? Apakah Rasulullah tidak marah? Para sahabat bertindak ingin memukul si Badwi tadi, tetapi Rasulullah menegah. Baginda meminta para sahabat menunggu sehingga Badwi itu selesai. Kemudian Rasulullah sendiri pergi mengambil air dan membersihkannya! Subhanallah, itulah jiwa yang kuat yang tulen. Itulah apa yang dikatakan sesungguhnya akhlak Rasululllah itu adalah Al-Quran. Akhlak baginda tersangat indah, lantas bagaimana mungkin manusia tidak terpesona dan memeluk Islam? Renungkan...

Masih ingat dengan peristiwa hijrah ke Thaif? Masih ingat bagaimana penduduk Thaif menyambut kedatangan Rasulullah dan Zaid bin Harithah, anak angkatnya? Walaupun Zaid berusaha keras melindungi Rasulullah dari terkena batu yang dilontar oleh penduduk Thaif sepanjang jalan, Rasulullah tetap terkena batu-batu tersebut sehingga tumitnya berdarah. Ya Allah...Baginda sedih dengan penolakan dakwahnya di sana. Lantas, malaikat Jibril datang, menawarkan untuk khidmatnya, menghempap gunung di bumi Thaif. Kalian fikir, apa tindakan Rasulullah? Apa reaksi baginda? Adakah baginda bersetuju?

Pastinya baginda menolak tawaran tersebut. Baginda bahkan mendoakan semoga ada dari kalangan penduduk Thaif nanti yang beriman kepada Allah. Subhanallah...setelah dakwahnya ditolak setelah dirinya dilukai...

Kita hari ini bagaimana? Dicuit sedikit pun kita melatah, marah-marah dan terkadang bersikap kebudak-budakan. Tidak mampu rasional dan terlalu mengikut emosi.

Ingin marah? Sakit hati? Dendam? Ketahuilah, rasa itu hadir kerana hati kita sakit...
Sakit? Ya sakit...jadi ubatilah....bagaimana?

"Ingatlah dengan mengingati Allah, hati-hati akan menjadi tenang..." (13:28)

Didik hatimu dengan zikrullah, jinakkan ia dengan ayat-ayat cintaNYA (Al-Quran), gilapkan ia dengan sirah Rasulullah dan para sahabat, insyaAllah...hatimu kembali sembuh

Andai semua manusia punya hati yang sihat...maka segalanya pasti indah...kenapa?
Kerana hati adalah raja segala anggota, jika baik hati, maka baiklah seluruh anggota...


~Jagalah hati...jangan marah dan teruslah tersenyum walau manusia terus membencimu. Selagi mana kau tahu, kau tidak membatasi syariatNYA...tersenyumlah kerana redha Allah pasti bersamamu...dan bila redha Allah bersamamu...redha manusia pasti mengikuti...~



Wallahua'lam

2 comments:

  1. Salam 'alaik

    Memang sukar untuk untuk kita menahan marah. Nabi SAW bersabda yang bermaksud

    "sesungguhnya kemarahan adalah daripada syaitan dan syaitan dicipta daripada api, apabila salah seorang kamu marah maka hendaklah dia berwudhuk"
    (Hadith riwayat Ahmad & Abu Daud)

    Kerana sukarnya melawan sifat marah, dalam hadith yang lain baginda Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud

    "sesiapa yg menahan marah sedangkan dia mampu melepaskan marahnya Allah akan memanggilnya pada hari kiamat di depan sekalian makhluk sehingga Allah memberinya pilihan untuk dia memilih mana-mana bidadari"
    (hadith riwayat Ahmad, Abu Daud & At-Tirmizi)

    Moga kita dapat mengikut sifat nabi SAW yang penyabar. Ameen.


    p/s : apa maksud alfaratisyah? kenapa menggunakan nama tu?

    ReplyDelete
  2. Jazakallah atas perkongsiannya. Hadith yg mengukuhkan & melengkapkan lagi entry ini, insyaAllah.

    InsyaAllah, sama-sama kita mendidik diri mencontohi Rasulullah, kerana bagindalah uswah hasanah.

    p/s: ada diterangkan dlm entry yg pertama, April 2010.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Click Here =)