~welcome~

Saturday, December 29, 2012

Sebarkan Cinta-Mu

Allahuakbar. Sudah lama rupanya tidak menjengah ke blog sendiri. Sudah lapan bulan rupanya tidak meng'update' sebarang entry di sini. Terasa bersalah buat mereka yang pernah saya janjikan kesinambungan cerpen yang saya tulis tempoh hari.

Sebetulnya, kelapangan itu ada. Mungkin diri sendiri yang belum dapat mengadaptasi dengan realiti kehidupan bergelar seorang guru. Sungguh, menjadi seorang guru itu tidak semudah yang disangka. Ia menuntut pengorbanan dan kesabaran yang tinggi. Semoga Allah memberikan saya dan anda semua, yang bergelar pendidik untuk terus mengikhlaskan niat dan berjuang membentuk generasi masa hadapan dengan ilmu dan akhlak sebagai perisainya.InsyaAllah.

Kali ini, saya ingin berkongsi tentang buku yang saya sedang saya baca, berjudul Sebarkan Cinta-Mu karangan penulis yang tidak asing lagi, Ustazah Fatimah Syarha. Sejujurnya, buku ini telah saya beli sewaktu Pesta Buku Antarabangsa yang lepas, namun kini baru berpeluang untuk membaca mengutip hikmah darinya. 







Buku ini mengisahkan Ibu Dhiya', seorang 'cleaner' di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT). Beliau merupakan seorang wanita yang sentiasa dahagakan ilmu. Walapun berkelulusan pesantren dari Jawa Timur, namun disebabkan kesempitan wang, beliau tidak mampu menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Namun, beliau dihormati oleh Ustazah Qotrun yang bergelar pensyarah di situ kerana ketinggian peribadi dan ilmuya. 

Di IPT tersebut, Ibu Dhiya' bertemu dengan dua orang pelajar bernama Sarra dan Diranie. Keduanya punya masalah keluarga. Sarra yang kecewa dengan tindakan ayahnya berkahwin lain tanpa rela ibunya mempersoalkan kenapa Islam membenarkan poligami. 

Di situlah inti ataupun mesej utama buku ini. 

Pelbagai soalan berkenaan poligami dirangkumkan dengan begitu rapi untuk tatapan pembaca. Ia meliputi  pandangan 3 golongan, iaitu mereka yang berfahaman liberal, mereka yang menggalakkan dan juga mereka yang berada di pertengahan.

Ya, asal hukum perkahwinan itu adalah sunnah. Tetapi, hukum asal poligami itu adalah harus. Dan hukum itu mungkin berubah mengikut keadaan dan situasi seseorang. 

Buku ini juga menyelitkan sebab dan hikmah perkahwinan Rasulullah dengan isteri-isteri yang dinikahinya setelah kewafatan isteri pertamanya, Khadijah.

Tuntasnya, buku ini membuka mata dan minda saya untuk melihat betapa indah dan adilnya Islam itu. Betapa Islam itu sangat meraikan dan memuliakan wanita. Poligami bukan satu penindasan. Bahkan wanita berhak untuk meminta si suami menceraikannya sekiranya suami ingin berkahwin kali kedua jika wanita (isteri pertama) tersebut takut perkahwinan itu akan merosakkan agamanya dek kerana rasa cemburu. Fitrahnya manusia, tidak ingin berkongsi orang yang dicintai dengan yang lain. 

Manakala, buat sang suami, mereka tidak boleh menyalahkan si isteri seandainya isteri tidak mengizinkan untuk perkahwinan kali kedua, apatah lagi seandainya perkahwinan itu tidak punya alasan yang kukuh. Ditambah pula dengan keadaan suami yang kemungkinan bahawa sang suami tadi tidak mampu untuk berlaku adil kepada kedua isterinya. Poligami itu diharuskan, tetapi ia diikat dengan syarat yang ketat yang perlu dipatuhi sang suami. Seandainya, ia tidak mampu, maka ia harus menjawabnya di hadapan Allah kelak. 

Tatkala bacaan diteruskan, makin banyak hikmah yang dapat saya kutip. Seandainya Allah mengizinkan nanti suatu masa saya dipertemukan dengan pasangan saya di dunia, maka saya kira ia ilmu yang bermanfaat sebelum mendirikan rumahtangga. ^___^

Buat pengunjung laman ini, terima kasih kerana masih sudi menjenguk ke sini. Buat yang berminat untuk mendapatkan buku ini, kalian boleh mendapatkan buku ini di kedai-kedai buku di luar atau secara online.

Semoga perkongsian kali ini bermanfaat buat kalian. Dan buat saya juga. 





p/s: Sudah lama tidak menulis, terasa tulisan begitu keras dan lurus, tiada seni dan jiwa. Maaf ya. =)









Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Click Here =)