~welcome~

Monday, April 16, 2012

Didikan Cinta (2)


Hari Isnin menjelma lagi. Waktu berjalan dengan pantas. Terkadang dia merasa kepenatan melangsaikan semua tugasan. Namun, dia sedar tidak ada istilah rehat bagi seorang mukmin melainkan sebelah kakinya sudah menapak ke syurga-Nya. Dia tersenyum. Indahnya saat membayangkan dia salah seorang penghuninya. ‘Ya Allah…layakkah aku ke syurga-Mu?’ Hatinya bermonolog. ‘Aku punya terlalu banyak dosa. Malah, amalku selama ini tidak mungkin mampu untuk menebus segala kesalahan sekaligus menempah tiket ke syurga-Mu. Hanya rahmat-Mu Ya Allah…hanya dengan rahmat-Mu aku mampu ke sana…’ Hatinya terus berkata-kata penuh hiba.

“Assalamualaikum cikgu…cikgu, maaf ganggu. Tumpang tanya, tempat Cikgu Adam kat mana ya?” Sapaan seorang pelajar membawanya kembali ke situasi sebenar. Terlupa seketika dia berada di sekolah tika ini. Dia menguntum senyuman manis kepada pelajar itu. 

“Waalaikummussalam. Ya, Hani. Tempat Cikgu Adam hujung sana.” Ujarnya seraya menunjukkan ke satu arah. Pelajar yang bernama Hani itu mengucapkan terima kasih sebelum berlalu pergi ke meja Cikgu Adam. Dia cuma menganggukkan kepalanya tanda berbesar hati dapat membantu. Nur Hani Ismail, itulah nama pelajar tersebut. Hani merupakan salah seorang pelajar cemerlang tingkatan tiga di sekolah itu sekaligus anatara pelajar harapan PMR 2011. Hani juga merupakan pelajar kesayangan guru kerana sikapnya yang sangat menghormati guru-guru. Akhlaknya dengan kawan-kawan juga sangat baik. Maka, Hani telah dianugerahkan Pelajar Sahsiah Terbaik pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul yang lalu. Dia sangat kagum dengan ibu bapa Hani yang mampu mendidik seorang anak sebegitu baik. Setahunya bapa Hani cuma seorang pekerja buruh di sebuah kilang swasta manakala ibunya merupakan suri rumah sepenuh masa. Namun, keluarganya cukup bahagia di mana ia mempengaruhi tumbesaran Hani dan adik-adiknya. Ibu bapa Hani sedayanya mendidik anak-anak mereka dengan acuan Islam. Ternyata, harta bukanlah semata-mata kunci kebahagiaan sebenar tetapi imanlah yang membentuknya.

Deringan loceng mematikan ingatannya pada pelajar tersebut. Dia bergegas ke kelasnya di Blok Al-Biruni, blok yang bersebelahan dengan blok bilik guru, Blok Al-Khindi. Blok-blok di sekolah ini dinamakan bersempena dengan nama-nama ilmuan Islam zaman lampau. Manakala kelasnya pula dinamakan dengan nama-nama 10 sahabat Rasulullah yang dijamin masuk syurga. Saat dia sampai di depan kelas 2 Abu Bakar, semua pelajar sedang tekun menyalin tugasan yang diberikan oleh guru sebelumnya. Dia melangkah masuk sambil memberikan isyarat dua minit diberikan kepada mereka untuk menyalin tugasan tersebut. Para pelajar menganggukkan kepala sedang tangan masing-masing rancak menyalin. Selang beberapa minit, setelah dia memastikan semua pelajar telah bersiap sedia untuk mata pelajarannya, sesi pembelajaran pun dimulakan. Setelah tempoh pembelajaran berakhir, semua pelajar berdiri mengucapkan terima kasih dan membaca surah al-Asr. Nur Sakinah menyusun langkah ke bilik guru. Saat dia membuka pintu bilik guru, Cikgu Adam yang berada berhampiran menoleh ke arahnya sambil melemparkan senyuman. Dia teragak-agak membalasnya. Tidak wajar rasanya senyuman itu dipandang sepi memandangkan Cikgu Adam adalah rakan sekerjanya. Dia menapak ke mejanya di hujung sebelah kiri pintu. Selang 40 minit lagi, dia perlu ke kelas 4 Umar. Dia duduk menghilangkan penat mendaki anak-anak tangga sebentar tadi. Kelas 2 Abu Bakar berada di tingkat empat, aras paling atas di Blok Al-Biruni. Mujurlah kelas 4 Umar satu aras dengan bilik guru. Dia memejamkan mata seketika, cuba mengusir rasa sakit di kepala. Apabila teringatkan dia belum Solat Dhuha, dia menilik jam di tangannya yang menunjukkan 10.20 pagi. Tas tangannya diambil lalu dia menuruni anak-anak tangga menuju  ke surau. Walaupun penat, tanggungjawabnya perlu dilunaskan. Solat Dhuha merupakan solat sunat yang sangat dianjurkan oleh Rasulullah setelah solat malam. Dia ingin mengikuti sunnah baginda kerana dia tahu hanya dengan berpegang teguh dengan Al-Quran dan As-Sunnah, maka dia tidak akan tersesat di lautan dunia yang penuh tipu daya. 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Click Here =)